KUALA LUMPUR: Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) perlu menerokai kerjasama lebih luas bagi menghasilkan penemuan baharu di samping mampu mengurangkan kos perubatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyelidikan klinikal perlu dipertingkat dengan kerjasama serantau, khususnya dengan negara-negara ASEAN serta diperluaskan dalam mendepani cabaran era digital serta kecerdasan buatan (AI).
Katanya, industri perubatan boleh mendatangkan beban sekiranya hanya bergantung pada syarikat pengeluar besar yang mengaut keuntungan terlalu tinggi, bukan saja terhadap kerajaan tetapi juga kepada pesakit.
Selain itu, katanya malah langkah tersebut penting memandangkan ketidaktentuan dalam pengumuman tarif oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
“Jadi, kita ada pilihan sama ada untuk menunggu atau bertindak segera. Ini bermakna kita perlu melaksanakan penyelidikan bersama bagi memastikan kita dapat mempengaruhi perubahan dan mengimplementasikan reformasi secepat mungkin.
“Kita perlu meningkatkan penyelidikan klinikal dan kerjasama dengan ASEAN kerana ia amat penting dan memberi impak besar,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian CRM Trail Connect 2025 di Nexus @ Connexion Conference and Event Centre, Bangsar di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkan, sejak 2012, sektor klinikal telah menyumbang lebih RM1.5 bilion kepada pendapatan negara dengan lebih 3,000 pekerja berkemahiran tinggi terlibat dalam sektor tersebut.
Selain itu, Anwar berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) digesa supaya memahami dasar ekonomi mikro dalam kalangan penjawat awam dan pembuat dasar sebagai langkah menangani ‘penyakit ekonomi’ yang sedang dihadapi negara.
Katanya, pemahaman terhadap perkara itu perlu dijadikan asas dalam kementerian, jabatan dan pusat penyelidikan bagi memastikan pembangunan untuk mengatasi permasalahan tersebut dilaksanakan secara adil dan berkesan.
“Saya selalu tekankan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad supaya memaklumkan kepada kakitangannya, bukan hanya mengetahui tentang penyakit dalam bidang kesihatan tetapi turut memahami penyakit ekonomi dan polisi ekonomi mikro.
“Setiap kementerian, jabatan dan pusat penyelidikan tentunya mahukan lebih banyak penyelidikan. Begitulah negara ini. Namun kita juga perlu melihat kepada sekolah, infrastruktur jalan raya, klinik dan hospital,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, setiap kawasan dan bandar pasti mempunyai permintaan tersendiri dalam aspek kesihatan, namun kerajaan tidak mampu memenuhi semuanya tanpa kefahaman mendalam terhadap keutamaan serta kekangan sumber.
Katanya, meskipun negara giat memperluas usaha dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, tekanan akibat permintaan yang meningkat turut dirasai rakyat serta golongan profesional khususnya dalam kalangan doktor.
“Doktor adalah kumpulan profesional yang sangat sensitif. Ini yang saya tahu daripada pengalaman Datuk Seri Dr. Wan Azizah. Sebab itulah pentingnya untuk memahami polisi ekonomi mikro dan kelemahannya, pasti ada,” katanya.-UTUSAN