SUBANG JAYA: “Usaha 20 tahun saya musnah sekelip mata.”
Itu luahan seorang pengusaha bas sekolah dan perkhidmatan khemah, Mohd. Radzi Mohd. Rashid, 43, apabila seluruh kediaman dan aset perniagaannya musnah dalam tragedi letupan paip gas di Kampung Kuala Sungai Baru, Putra Heights di sini, bulan lalu.
Mohd. Radzi berkata, beliau menanggung kerugian dianggarkan hampir RM1 juta selepas tiga bas sekolah, tiga van, beberapa rumah sewa, sistem pendawaian kediaman serta peralatan perniagaan hangus terbakar dalam kejadian itu.
“Rumah saya musnah keseluruhan. Tiada satu pun dapat diselamatkan. Bas sekolah, van semua musnah. Rumah sewa empat unit habis terbakar. Saya juga masih belum sembuh sepenuhnya kerana lengan kanan melecur tahap tiga, muka pun terjejas,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Radzi yang sebelum ini menetap di Lot 5 Kampung Kuala Sungai Baru kini menyewa di lot 43 kampung sama buat sementara waktu.
Katanya, perniagaan yang diusahakan lebih dua dekad itu pada asalnya diwarisi daripada bapa dan menjadi punca rezeki utama keluarganya termasuk beberapa pekerja tempatan.
“Saya tidak dapat menjana sebarang pendapatan sekarang. Hendak pulihkan rumah, hendak baiki pendawaian elektrik, upah tukang, ganti bas dan van, semuanya perlukan belanja besar. Belum masuk lagi peralatan khemah yang musnah,” katanya dengan nada sayu.
Tambahnya, kerosakan besar pada aset utama seperti kenderaan dan sistem pendawaian menjadi faktor utama nilai kerugian mencecah angka jutaan ringgit.
“Ini bukan kerosakan kecil. Satu rumah pun kos baik pulih boleh cecah ratusan ribu ringgit. Kalau ada wayar hangus, tukar semula. Bas dan van pula bukan murah, itu semua perlukan insurans dan servis khas,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Mohd. Saifullizam, 40, turut menganggarkan kerugian mencecah RM500,000 selepas dua unit rumahnya yang disewakan musnah sepenuhnya akibat letupan.
“Rumah-rumah ini saya sewakan. Sekarang semuanya musnah, penyewa pun hilang tempat tinggal. Saya sendiri terpaksa menyewa di Shah Alam,” katanya.
Tambahnya, letupan itu juga menyebabkan tanah runtuh yang mengambus longkang utama, namun tiada penjelasan lanjut mengenai perparitan dalam pelan baik pulih. – UTUSAN