KUALA LUMPUR: Seramai 84,500 pesakit di seluruh negara menerima manfaat bantuan dengan nilai kelulusan berjumlah RM793.7 juta melalui Tabung Bantuan Perubatan (TBP) sejak ditubuhkan pada tahun 2005 hingga kini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, bagi tahun ini sahaja sehingga Oktober lalu, lebih 3,800 permohonan diluluskan dengan jumlah kelulusan bernilai RM56.2 juta.
Katanya, TBP diwujudkan bagi membantu golongan kurang berkemampuan menampung sebahagian atau sepenuhnya kos rawatan, peralatan perubatan, peralatan rehabilitasi serta ubat-ubatan yang diperlukan berdasarkan syarat tertentu.
“Antara disiplin perubatan yang disenaraikan di bawah tabung ini termasuk kardiologi, ortopedik, respiratori, surgeri dan rehabilitasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai , implikasi kutipan cukai, perkara itu telah diambil kira sebelum Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) dimuktamadkan.
Menurutnya, kerajaan menilai semua aspek termasuk peraturan cukai secara menyeluruh bagi memastikan kepentingan negara terus terpelihara.
“Daripada segi perjanjian yang dibuat, kena tengok secara keseluruhan. Aturan terbaik dan perjanjian terbaik adalah apa yang telah kita capai melalui ART. Dalam aspek cukai, kita sudah memberi pandangan dan ia telah diambil kira dalam perjanjian itu,” katanya.
Tambahnya, penetapan tarif yang dipersetujui juga memberi kejelasan kepada industri tempatan untuk merancang operasi dan pelaburan jangka panjang.
“Ia akhirnya memberi kelegaan kepada industri, sekali gus membuka ruang kepada pelaburan langsung asing (FDI) untuk terus masuk ke dalam negara,” katanya.-UTUSAN










