JEMPOL: Orang ramai diingatkan lebih berwaspada terhadap penularan kandungan tidak sahih di media sosial, termasuk video lama yang dikitar semula dan maklumat dipetik di luar konteks yang dipercayai bertujuan mempengaruhi pengundi menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, penyebaran berita palsu dijangka memuncak dalam tempoh dua hingga tiga hari terakhir sebelum pengundian, sekali gus menuntut orang ramai supaya tidak mudah mempercayai atau berkongsi sebarang maklumat yang belum disahkan kesahihannya.
Beliau berkata, kandungan yang disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp dan media sosial lazimnya mengandungi maklumat separuh benar, video lama yang dikitar semula dan fakta dipetik di luar konteks bagi mewujudkan persepsi tertentu dalam kalangan pengundi.
“Orang ramai perlu lebih berhati-hati dan bersikap skeptikal terhadap setiap maklumat diterima kerana trend penyebaran berita palsu biasanya meningkat menjelang hari mengundi,” katanya selepas menghadiri program kempen calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, G. Manivanan di Felda Bukit Rokan Barat, di sini hari ini.
Mengulas dakwaan pemberian wang kepada pengundi awal yang tular di media sosial, Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PH berkata, sebarang siasatan berhubung perkara itu terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersedia membantu sebagai agensi teknikal termasuk menjalankan pengesahan dan forensik digital terhadap kandungan yang dimuat naik atau disebarkan sekiranya diperlukan.
Dalam perkembangan sama, beliau mengesahkan MCMC turut menerima permintaan daripada polis bagi membantu siasatan membabitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan seorang pemimpin UMNO Rembau berhubung kenyataan yang dibuat ketika berkempen baru-baru ini.-UTUSAN










