KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan akan mengkaji saranan bagi perluasan bantuan tunai MyKasih dan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk digunakan kepada penjaja kecil dan peniaga perkhidmatan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, cadangan yang dikemukakan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) itu akan diteliti daripada segi keupayaan serta mekanisme terbaik dengan mengambil kira semua aspek.
“Kita mengambil cadangan yang diberikan dan kita kena perhalusi dan lihat sistem yang kita ada serta kemampuan sama ada kalau kita lebarkan (bantuan tunai) kepada area itu, boleh atau tidak dikawal dengan baik. Kita tidak mahu ada isu-isu lain yang berlaku.
“Janji saya adalah kita akan memperhalusi dan melihat. Kalau ia cadangan yang boleh dibuat, kita akan melihatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan kerajaan dicadang untuk menggunakan skim baucar bagi meneruskan bantuan tunai seperti MyKasih dan SARA.
Cadangan itu dikemukakan Bee Yin supaya bantuan itu mampu memberikan manfaat kepada penjaja kecil dan peniaga perkhidmatan dan bukan hanya pada perniagaan runcit membabitkan kedai runcit rantaian selain pasar raya terpilih.-UTUSAN









