Penerokaan tanah burukkan banjir Kampung Tringkap

Penerokaan tanah burukkan banjir Kampung Tringkap

KESAN banjir yang melanda Kampung Tringkap di Cameron Highlands pada Khamis lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Pembukaan tanah pertanian di kawasan berhampiran didakwa me­nyebabkan penduduk menerima kesan teruk akibat banjir yang melanda Kampung Tringkap di sini, Khamis lalu.

Presiden Persatuan Kese­daran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach), A. Dilip Martin mendakwa, kegiatan penerokaan tanah untuk kebun sayur memburukkan lagi kesan banjir dan menyebabkan banyak kerosakan rumah penduduk selain kehilangan harta benda yang tidak sempat diselamatkan.

Menurutnya, walaupun kejadian banjir atau kepala air itu berpunca dari kawasan hulu Tringkap, namun keadaan menjadi lebih teruk akibat lumpur dan tanah akibat penerokaan kawasan berdekatan kampung tersebut.

Beliau berkata, kegiatan penerokaan tanah di kawasan berdekatan menyebabkan air sungai melimpah masuk ke rumah penduduk.

“Bagaimana satu pembangunan atau kelulusan Kebenaran Merancang untuk membuka kebun boleh berlaku dalam kawasan yang telah diwartakan sebagai Zon Hutan?

“Bukankah kelulusan seharusnya mematuhi dokumen rasmi seperti Rancangan Tempatan Daerah Cameron Highlands (RTDCH) yang menelan belanja jutaan ringgit dan telah diwartakan oleh kerajaan negeri? 

“Jika dokumen ini tidak dipatuhi, maka ia merupakan satu pembaziran besar terhadap wang pembayar cukai,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, kejadian itu menimbulkan persoalan mengapa projek tersebut diluluskan di kawasan berdekatan Kampung Tringkap.

Katanya, berikutan itu Reach dan penduduk Cameron Highlands memohon agar setiap projek yang ingin diluluskan perlu melalui proses libat urus dan mendapat pandangan orang ramai terlebih dahulu. 

“Reach meminta kerajaan negeri Pahang menyemak semula semua projek pembangunan yang telah diluluskan.

“Selain itu, kami mengesa pihak berkuasa menghentikan serta-merta projek-projek yang tidak mematuhi syarat-syarat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan dalam setiap keputusan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN