Pemilihan parti: Apa naratif PKR kali ini?

Pemilihan parti: Apa naratif PKR kali ini?

NAMA besar yang dianggap ‘kuat’ seperti Nik Nazmi Nik Ahmad, Adam Adli Abd. Halim, K. Saraswathy, Rodziah Ismail dan P. Prabakaran antara yang tewas kepada muka-muka baharu dalam pemilihan parti di peringkat cabang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sewaktu PKR menjadi pembangkang, naratif melawan UMNO Barisan Nasional (BN) dan ‘menang besar’ kuat dimainkan sehingga berjaya mendapat sokongan di peringkat akar umbi parti serta sokongan rakyat.

Naratif itu menyatukan pelbagai kem dalam parti, walaupun wujud perbezaan pendekatan dan personaliti dalamannya.

Namun hari ini, apabila PKR sudah menjadi tulang belakang Kerajaan Perpaduan, naratif perjuangan semakin kabur dan mulai berubah. Sebahagian ke­pemimpinan tertinggi dilihat lebih selesa dengan kuasa, tetapi semakin jauh daripada denyut nadi akar umbi.

Pemilihan PKR 2025 mula memperlihat penolakan senyap oleh akar umbi terhadap kumpulan yang sebelum ini gah di pentas nasional. Tokoh-tokoh dari kem Ayuh Malaysia yang pernah dijulang sebagai penyelamat parti kini mula tewas di tangan calon-calon baharu di peringkat cabang.

Antara yang terpalit ialah dua nama besar yang rapat dengan Timbalan Presiden, Datuk Rafizi Ramli iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad dan Akmal Nasrullah.

Kekalahan mereka memberi mesej jelas bahawa akar umbi mula hilang kepercayaan terhadap strategi maya yang tidak turun padang.

Keputusan itu juga menimbulkan persoalan apa yang akar umbi mahukan dan apa naratif yang PKR ingin bawa bagi meletakkan parti kekal relevan dan diterima rakyat sebagai parti dalam kerajaan.

Dalam hal ini, secara asasnya, PKR bukan sahaja memerlukan strategi media sosial, tetapi juga pemimpin yang konsisten turun ke bawah, membina pengka­deran, menggerakkan penambahan ahli dan menyatu padukan kekuatan sebenar parti.

Malah, keseimbangan dalam semua aspek sama ada menjaga parti, hubungan di antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan serta hubungan dengan rakyat amat penting bagi mengekalkan status seseorang pemimpin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak boleh dibiarkan keseorangan memikul agenda nasional dan perpaduan kerana beliau juga memerlukan pasukan kepimpinan parti yang stabil, berpengalaman dan diterima semua lapisan termasuk akar umbi.

Mungkin disebabkan itu juga akar umbi melihat sudah sampai masa kepimpinan baharu perlu membawa naratif baharu dalam kepimpinan parti dan kerajaan supaya parti kekal relevan dan hala tujunya boleh diterima semua pihak.

Mengambil kira naratif tersebut, mungkin ini adalah isyarat jelas kini masa yang sesuai untuk bekas Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bangkit semula, bukan sebagai pencabar, tetapi sebagai penyatu dan pemantap.

Malah, naratif baharu PKR ini bukan soal fraksi, tetapi soal masa depan dan masa depan itu memerlukan wajah yang terbukti, bukan yang hanya popular sementara.

Biarpun pernah diketepikan, Saifuddin Nasution dilihat tidak pernah meninggalkan parti, walaupun selepas tewas. Kesetiaan beliau selama lebih 14 tahun sebagai Setiausaha Agung menjadi bukti komitmen tanpa syarat terhadap perjuangan reformasi.

Beliau kekal menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Dalam Negeri, Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kedah, dan terus mempertahan idealisme parti tanpa bermain politik fraksi.

Sama ada diterima akar umbi atau tidak, penamaan calon untuk jawatan pusat PKR esok dan lusa bakal menjawab segala persoalan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN