KUALA LANGAT: Seorang pemandu lori direman empat hari bagi membantu siasatan kes kemalangan maut melibatkan seorang pekerja syarikat kurier multinasional, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Akmalrizal Radzi berkata, tempoh reman ke atas suspek lelaki berusia 30-an itu bermula hari ini.
“Kebenaran itu diperoleh selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret, Telok Datok pagi tadi. Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan direman empat hari bagi siasatan lanjut,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Labohan, Banting di sini.
Kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu melibatkan lori 10 tan dan motosikal yang ditunggang mangsa lelaki berusia 40-an.
Kemalangan menyebabkan mangsa yang berada di bawah lori itu meninggal dunia di tempat kejadian dan dikeluarkan anggota bomba.
Masalah brek dipercayai menjadi punca kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN