KUALA PILAH: Wanita yang dipercayai menikam leher ibunya berusia lingkungan 80-an di Kampung Senginyeh Inas, Johol, di sini semalam, direman tujuh hari sehingga 27 Februari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, perintah reman terhadap suspek berusia lingkungan 50-an itu dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, hari ini.
“Reman dibenarkan selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 27 Februari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.08 malam semalam, suspek disyaki menikam ibunya di bahagian leher menggunakan alat pembuka tin.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Rembau sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.
Sementara itu, Muhamad Mustafah berkata, polis tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai masalah kesihatan mental dan kini ditahan di wad hospital di Kuala Pilah bagi pemeriksaan lanjut. – UTUSAN










