TELUK INTAN: Pemandu lori yang terlibat nahas mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Selasa lalu, dibebaskan selepas membayar ikat jamin berjumlah RM6,000 di Mahkamah Teluk Intan di sini hari ini.
Proses membayar ikat jamin berjumlah RM6,000 itu dilakukan majikan lelaki itu dikenali sebagai Ravi, 58, dan jiran lelaki itu dikenali Roslan, 68, masing-masing berjumlah RM4,000 dan RM2,000.
Jumaat lalu di Mahkamah Majistret Teluk Intan, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 46, mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu lori secara berbahaya hingga menyebabkan kematian kepada S. Perumal, 44; Mohd. Roslan Abdul Rahim, 46; Mohd. Pozli Jaudin, 41; Nurit Pandak, 34, dan Amiruddin Zabri, 38.
Turut terkorban, Mohamad Hilmi Mohd. Azlan, 38; Muhamad Akmal Muhamad, 35; Damarrulan Abdul Latif, 33, dan Akmal Wafi Annuar, 28.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik di daerah Hilir Perak pada pukul 9 pagi, 13 Mei 2025.
Hakim Mahkamah Sesyen, Norhamizah Shaiffuddin yang bertindak sebagai Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 bagi kesemua pertuduhan. – UTUSAN