MELAKA: Seorang pelajar wanita berdepan detik cemas apabila menjadi mangsa cabul lelaki warga asing ketika menaiki sebuah bas ekspres dari ibu negara ke Melaka, kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 6.04 petang semasa bas berada di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Alor Gajah.
Menurut sumber, mangsa yang berusia 19 tahun, duduk di kerusi nombor 11 sedang memejamkan mata untuk berehat sebelum menyedari kakinya disentuh suspek berusia 39 tahun yang duduk di kerusi sebelah.
“Selepas menepis tangan suspek dan menegurnya, lelaki itu memberi alasan tertidur dan meminta maaf, namun tidak lama kemudian dia sekali lagi cuba menyentuh mangsa.
“Bimbang kejadian berulang, mangsa sempat merakam perbuatan tersebut menggunakan telefon bimbitnya sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.
Tambah sumber, pelajar terbabit kemudian memaklumkan insiden itu kepada pemandu bas yang bertindak menukar tempat duduk suspek ke bahagian hadapan.
Susulan kejadian, suspek ditahan sebaik tiba di Terminal Bas Melaka Sentral pada pukul 8.30 malam dan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.
Difahamkan, suspek bekerja sebagai tukang cuci dan menetap di Kampung Ramuan China Besar, Alor Gajah.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan. – UTUSAN