KOTA KINABALU: Keputusan untuk melakukan bedah siasat terhadap mayat pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir terletak pada pegawai penyiasat dan Jabatan Forensik.
Menurut Dr. Pavankumar Balachandran yang bertugas di Wad Neurosurgeri yang menempatkan remaja terbabit sehingga dia menghembuskan nafas terakhir, pada kebiasaannya, selepas mayat diserahkan kepada pegawai penyiasat, pegawai polis itu akan berbincang dengan jabatan tersebut dan ahli keluarga bagi menentukan langkah seterusnya.
Pada prosiding hari ini juga, pegawai perubatan itu juga menafikan bahawa beliau tidak pernah memberikan penerangan dan penjelasan kepada ibu remaja terbabit, Noraidah Lamat berhubung masa dan punca kematian Zara Qairina.
Peguam Rizwandean M Borhan: Di mana awak beri penerangan kepada ibu pesakit?
Dr. Pavankumar: Di Wad Neurosurgeri.
Rizwandean: Di mana awak beri penerangan kepada pegawai penyiasat (Inspektor Wong)? Bila dia sampai?
Dr. Pavankumar: Di Wad Neurosurgeri. Dia sampai selepas dimaklumkan mengenai kematian pesakit tapi tak ingat pukul berapa.
Rizwandean: Siapa lagi yang ada di situ sewaktu awak beri penerangan?
Dr. Pavankumar: Terdapat beberapa individu lain, sanak saudara dan rakan (keluarga Zara Qairina)
Rizwandean: Saya mendapat arahan daripada anak guam saya bahawa awak tidak pernah memberikan sebarang penjelasan dan penerangan mengenai punca kematian Zara Qairina.
Dr. Pavankumar: Sepanjang ingatan saya, saya ada memberi penjelasan kepada ibu Zara Qairina dan beberapa saudaranya mengenai asa dan punca kematian.
Rizwandean: Ada atau tidak awak melihat pegawai penyiasat dan ibu Zara Qairina berbincang?
Dr. Pavankumar: Ada.
Rizwandean: Saya mendapat arahan daripada anak guam saya untuk menyatakan bahawa ibu Zara Qairina dan pegawai penyiasat tidak pernah berjumpa dan bercakap pada 17 Julai lalu (tarikh kematian remaja terbabit) di wad berkenaan.
Dr. Pavankumar: Apa yang saya boleh katakan, saya lihat pegawai penyiasat memberi penerangan kepada ibu remaja itu.
Pada prosiding hari ini juga, Mahkamah Koroner ditunjukkan dengan dua rakaman simulasi yang dilakukan oleh pasukan Forensik Jenayah (D10) IPK Sabah.
Pegawai Siasatan Tempat Kejadian (1), Inspektor Maidon Bernadus, 52, berkata simulasi itu dilakukan dengan menggunakan patung yang dipinjam daripada Hospital Queen Elizabeth dan dikat dengan beberapa batu bata bagi menyamai berat Zara Qairina. Simulasi dilakukan pada hari minggu, pada pukul 3 pagi.
“Simulasi kejadian telah dijalankan menggunakan patung dengan berat asal 10 kilogram. Bagi menyerupai berat fizikal si mati, patung tersebut ditambah pemberat menggunakan batu bata yang ditampal mengelilingi bahagian pinggang hingga ke bawah, menjadikan jumlah berat keseluruhan kira-kira 53 kilogram.
“Ketinggian patung adalah lebih kurang 180 sentimeter, iaitu melebihi 27 sentimeter daripada ketinggian fizikal si mati (153 sentimeter),” katanya.
Simulasi pertama dilakukan dengan menjatuhkan patung secara tegak dari koridor aras tiga berhadapan tandas manakala simulasi kedua dilakukan dengan patung itu dijatuhkan dengan daya tolakan dari lokasi sama.
“Hasil simulasi pertama, saya mendapati jarak antara kedudukan jatuhan patung mendarat dan dinding bangunan asrama di aras bawah (ground floor) adalah lebih kurang 2.14 meter manakala hasil simulasi kedua, jarak antara kedudukan jatuhan patung mendarat dan dinding bangunan asrama aras bawah (ground floor) adalah lebih kurang 3.45 meter.
“Secara keseluruhan, hasil dari simulasi yang telah saya bersama pasukan CSI lakukan mendapati, simulasi pertama iaitu jatuhan patung ke bawah tanpa daya tolakan/dorongan adalah hampir dengan kedudukan mangsa melalui siasatan awal yang telah dilaksanakan oleh pegawai penyiasat melalui taklimat ringkas yang diberikan pada awalnya,”kata saksi itu.
Prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung esok dengan keterangan saksi kelima.-UTUSAN










