GAZA: Sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak Palestin terbunuh setiap jam akibat serangan tentera Israel di Gaza sejak hampir 23 bulan lalu, dengan angka kematian kini melepasi 20,000 orang.
Save the Children menyifatkan perkembangan itu sebagai statistik yang memalukan dan satu lagi titik hitam dalam perang yang penuh dengan siri penderitaan.
“Serangan sistematik terhadap rumah, taman permainan, sekolah dan hospital kanak-kanak, ditambah dengan kebuluran yang dirancang, dunia tidak melakukan apa-apa untuk menghentikannya,” kata Pengarah Save the Children bagi Asia Barat, Afrika Utara dan Eropah Timur, Ahmad Alhendawi, dalam satu kenyataan.
Organisasi itu merujuk kepada data terbaharu yang dikeluarkan oleh Pejabat Media Kerajaan di Gaza yang menunjukkan sekurang-kurangnya 20,000 kanak-kanak, kira-kira dua peratus daripada populasi kanak-kanak Gaza, terbunuh sejak Oktober 2023.
Sekurang-kurangnya 1,009 daripada kanak-kanak yang terbunuh adalah berusia bawah setahun, dengan hampir separuh daripada bayi tersebut dilahirkan dan dibunuh sepanjang perang.
Pada masa sama, sekurang-kurangnya 42,011 kanak-kanak cederan, dengan Jawatankuasa Hak Orang Kurang Upaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan sekurang-kurangnya 21,000 kanak-kanak mengalami kecacatan kekal.
Organisasi itu menambah, ribuan lagi masih hilang atau dipercayai tertimbus di bawah runtuhan.
“Nyawa kanak-kanak yang masih hidup berisiko setiap hari,” kata NGO itu.
Memetik Kementerian Kesihatan, NGO itu berkata, sekurang-kurangnya 132,000 kanak-kanak berusia bawah lima tahun berisiko maut akibat kekurangan zat makan akut, dan 135 kanak-kanak sudah pun mati kebuluran.
Ia menekankan, tentera Israel meningkatkan pengeboman di seluruh Gaza, merosakkan 97 peratus sekolah, 94 peratus hospital, dan membunuh kanak-kanak yang tujuh kali lebih berisiko mati akibat kecederaan letupan berbanding orang dewasa.
“Tubuh mereka lebih terdedah kepada trauma, dan mereka sering mengalami jenis kecederaan khusus yang memerlukan rawatan pakar yang disesuaikan dengan fisiologi dan perkembangan mereka,” kata kenyataan itu.- AGENSI










