TOKYO: Parti pemerintah Jepun, Parti Demokratik Liberal (LDP), akan memilih pemimpin baharu pada 4 Oktober depan bagi menggantikan Perdana Menteri, Shigeru Ishiba, yang meletak jawatan susulan kekalahan besar dalam pilihan raya baru-baru ini.
Sebagai parti terbesar di Parlimen, presiden LDP berpeluang besar menjadi perdana menteri seterusnya, sementara pembangkang kekal berpecah.
Menurut ketua jawatankuasa pilihan raya, Ichiro Aisawa, notis rasmi pencalonan akan dikeluarkan pada 22 September dengan tempoh kempen berlangsung 12 hari sebelum pengiraan undi dijalankan.
Jadual itu dijangka disahkan pada Rabu.
Bekas diplomat kanan yang digelar ‘Trump Whisperer’, Toshimitsu Motegi, muncul sebagai calon pertama, manakala veteran nasionalis Sanae Takaichi dan Menteri Pertanian, Shinjiro Koizumi, turut dijangka menyertai perlumbaan.
Siapa sahaja yang menang akan berdepan pelbagai cabaran besar termasuk populasi menua, hutang negara yang tinggi serta inflasi yang menekan ekonomi.
Pilihan raya itu akan terbuka kepada ahli-ahli biasa LDP.
Ketua hal ehwal umum LDP, Shunichi Suzuki berkata, parti itu mesti berhati-hati untuk mencerminkan suara rakyat, memandangkan kemarahan awam yang memuncak berhubung skandal rasuah membabitkan ahli Parlimen baru-baru ini.
“Dalam pilihan raya ini, sama ada LDP mampu bangkit atau terus merosot bakal ditentukan,” kata Suzuki pada sidang akhbar.
Setiausaha Agung LDP, Hiroshi Moriyama, yang pernah berkhidmat di bawah Ishiba, berkata pilihan raya kepemimpinan itu juga dilihat sebagai peluang untuk parti melakukan pembaharuan.
“Saya percaya pilihan raya presiden ini adalah peluang penting untuk parti kita membuat permulaan baharu… dan mara sebagai parti nasional bagi era baharu,” katanya.
Secara tradisinya, pemimpin LDP hampir pasti dilantik sebagai perdana menteri kerana majoriti kerusi parlimen yang dipegang bersama rakan gabungan Komeito.- AFP










