MELAKA: Pelajar tahfiz yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di seluruh negara yang mencapai keputusan 10A ke atas berpeluang menerima tajaan biasiswa melanjutkan pelajaran di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech MARA (UPTM).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bagi membolehkan pelajar cemerlang tersebut mendapat biasiswa penuh.
“Saya akan mencadangkan kepada Pengerusi Mara untuk UniKL dan UPTM mengambil pelajar-pelajar lulusan daripada tahfiz yang mendapat keputusan SPM yang cemerlang bagi diberikan biasiswa sepenuhnya untuk mendaftar di dua universiti berkenaan.
“Biasiswa seratus peratus ini memang diamalkan oleh Institut Pendidikan MARA (IPMA) kepada pelajar-pelajar cemerlang dan pelajar cemerlang dari tahfiz sewajarnya diberikan keutamaan pada tahun ini.
“Saya mahu pelajar yang hufaz atau penghafal al-Quran bakal menjadi ahli-ahli profesional selepas menamatkan pengajian di UniKL dan UPTM nanti,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Graduasi Huffaz dan Apresiasi Kecemerlangan Ulul Albab 2025, Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2025 yang akan diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 11 hingga 13 Jun depan bakal menyaksikan beberapa kelainan.
Menurutnya, antara elemen yang akan dibawa pada sambutan selama tiga hari itu termasuklah pameran berkaitan kenderaan elektrik (EV), teknologi maklumat (IT) dan e-Sukan.
Beliau berkata, pelajar yang berminat dalam bidang TVET perlu mengambil peluang untuk hadir melihat pameran yang diadakan itu kerana ia turut membuka peluang kepada lepasan SPM untuk mendaftar dengan beberapa institusi yang menawarkan pengajian tersebut.
“Pelajar boleh melihat peluang-peluang pekerjaan dan juga tangga gaji yang akan mereka nikmati apabila mereka keluar daripada institusi TVET ini,” katanya. – UTUSAN