ALOR SETAR: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mendukung formula Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membentuk Kerajaan Perpaduan dalam berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Presidennya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, parti komponen BN itu berpandangan kerjasama tersebut juga diyakini membawa kestabilan politik di Sabah kelak berdasarkan rekodnya di peringkat Kerajaan Persekutuan.
“Beberapa hari lepas ada kenyataan daripada kepimpinan tertinggi bahawa kerjasama PH dan BN akan diperkuatkan lagi di Sabah. Ini selari dengan formula Kerajaan Perpaduan. Bagi saya amat penting kerana Kerajaan Perpaduan ini membawa kestabilan kepada negara sekarang.
“Kerjasama PN-BN itu akan diterjemah dan diperkuatkan lagi di peringkat Sabah yang selari dengan formula kerajaan perpaduan yang kita ada sekarang,” katanya dalam sidang akhbar selepas program Libat Urus Bersama Pelatih MADA Rice Training Centre (MRTC) di sini hari ini.
Arthur mengulas tentang kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Tawau baru-baru ini yang menunjukkan hasratnya untuk mengadakan perbincangan bertujuan membawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ke dalam Kerajaan Perpaduan.
“Beliau melawat Tawau baru-baru ini dan berkata usaha akan dilakukan untuk berunding dan memastikan GRS turut dimasukkan dalam formula Kerajaan Perpaduan menjelang pilihan raya negeri.
“Setakat ini belum lagi ada mesyuarat secara rasmi, tetapi kita (PBRS) bersedia untuk memastikan bahawa formula Kerajaan Perpaduan ini kekal di Sabah sebab kita sangat memerlukan kestabilan politik,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan, Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri mengenai masa depan Sabah dan kepentingan persekitaran politik yang stabil.
Dalam pada itu, Arthur yang merupakan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, kebolehpasaran graduan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertanian meningkat kepada 78 peratus tahun lepas berbanding 72 peratus tahun sebelumnya.
Katanya, bidang poltri dan pengeluaran padi merekodkan kebolehpasaran Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tertinggi iaitu 95.7 peratus dan 95.5 peratus.
“Kebolehpasaran graduan pertanian meningkat sejak lima tahun lalu iaitu daripada 65 peratus kepada sekarang mencecah 78 peratus. Dalam bidang tertentu sangat tinggi sebagai contoh bidang poltri dan pengeluaran padi beras.
“Ini bermakna bahawa permintaan graduan TVET ini banyak. Kita akan membesarkan untuk menambahkan lagi kapasiti pusat latihan kita supaya boleh memenuhi permintaan pasaran ini,” katanya.
Mengulas lanjut, graduan TVET pertanian mempunyai peluang yang luas untuk menceburi bidang kritikal dalam sektor tersebut seperti agronomi pintar, bioteknologi tanaman dan automasi ladang.
“Kita turut mengalakkan mereka menceburi keusahawanan pertanian. Fokus kementerian yang pertama untuk memastikan kemampanan sektor dan untuk melibatkan lebih ramai golongan belia dalam bidang pertanian sebagai langkah untuk meningkatkan sektor pertanian,” katanya. – UTUSAN










