KUALA LUMPUR: Seramai 1.9 juta pengunjung dijangka hadir bersempena penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) bermula hari ini sehingga 1 Jun ini.
Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd. Khair Ngadiron berkata, sasaran itu diletakkan selepas PBAKL tahun lalu menerima kunjungan seramai 1.8 juta orang melibatkan lebih 900 pempamer.
Katanya, penyertaan tinggi itu selepas PBAKL 2024 yang lalu turut mendapat sambutan menggalakkan menerusi Baucar Buku Madani yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Alhamdulillah, saya fikir kesan langsung dari Perdana Menteri dalam PBAKL kali ke-41 lalu mengumumkan baucar buku bernilai lebih RM400 juta melibatkan pelajar sekolah rendah, sekolah menengah dan juga universiti.
“Limpahan nikmat kepada pempamer itu sangat hebat, jadi tahun ini tempahan reruai sangat tinggi.
“Kita ada sebanyak 1,172 reruai yang mana kita terpaksa membina pavilion khas, marquee tent dan juga membuka semua ruang di Pusat Dagangan Dunia kepada pempamer,” katanya.-UTUSAN