KUALA LUMPUR: Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) menjadi platform bagi mengangkat martabat buku dan meningkatkan budaya membaca masyarakat.
Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Kementerian Pendidikan (KPM), Aniza Kamarulzaman berkata, PBAKL juga menjadi medan untuk menerapkan ilmu menembusi pelbagai lapisan masyarakat.
Katanya, penganjuran PBAKL kali ini membawa kelainan antaranya pempamer dari serata dunia, kerjasama antara kementerian, pembabitan aktif sekolah dan komuniti pendidikan dari seluruh negara.
“Tema PBAKL tahun ini iaitu ‘Buku: Membaca dan Memimpin’, amat bererti buat kita semua kerana ia bukan hanya slogan, tetapi seruan strategik untuk memperkukuh budaya membaca sebagai asas pembinaan pemimpin masa depan.
“Sebagai agensi bertanggungjawab terhadap sumber dan teknologi pendidikan, BSTP melihat PBAKL sebagai ruang sinergi antara cetakan dan digital, pendidik dan pengkarya, serta antara pelajar dan pemikir.
“Ini jelas merujuk kepada satu pendekatan menyeluruh. Kita juga meraikan usaha memperluas akses, memartabatkan penerbit tempatan dan mendidik generasi celik informasi,” katanya berucap pada Majlis Pembuka Tirai PBAKL Ke-42 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini, hari ini.
PBAKL 2025 berlangsung hingga 1 Jun, penganjuran terbesar dalam sejarah dengan 1,172 reruai melibatkan penyertaan 258 pempamer tempatan dan antarabangsa termasuk negara anggota ASEAN.
Menyasarkan lebih 1.9 juta pengunjung selama 10 hari, PBAKL 2025 menjadi antara acara buku paling mendapat sambutan di dunia dengan pengiktirafan antara 12 festival sastera terbaik dunia oleh portal pelancongan Zicasso berpangkalan di Silicon Valley, Amerika Syarikat (AS).-UTUSAN