BALIK PULAU : Polis menahan sepasang suami isteri selepas pasangan itu disyaki mendera anak perempuan mereka yang berusia 12 tahun di sebuah kondominium di Sungai Ara, di sini.
Kedua-dua suspek berusia 49 dan 47 tahun yang masing-masing bekerja sebagai pengurus program dan jurutera itu ditahan susulan laporan polis yang dibuat oleh guru besar sekolah mangsa, pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, terdahulu, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 11.57 pagi selepas guru kaunseling sekolah mengesan terdapat kesan lebam dan luka pada bahagian belakang badan murid berkenaan.
”Hasil siasatan mendapati, mangsa yang merupakan murid tahun enam dan anak kedua kepada pasangan terbabit telah dirotan di bahagian belakang badan pada Ahad lalu.
”Mangsa juga memaklumkan kepada pihak sekolah bahawa dia sering dipukul dan pernah dikurung dalam sangkar anjing oleh ibu bapanya. Polis bagaimanapun masih menjalankan siasatan lanjut buat masa ini,” katanya ketika dihubungi, di sini.
Sazalee berkata, ketika ini, mangsa telah ditempatkan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan sedang menerima rawatan lanjut di sana.
Tambah beliau, polis turut merampas sebatang rotan dari kediaman suspek sebagai barang kes dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.-UTUSAN