PETALING JAYA: Pas menafikan cemburu dengan hubungan politik terjalin antara UMNO dan DAP, sebaliknya hanya ingin memberi peringatan kepada parti itu senasib yang bakal ditimpa mereka.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, Pas sejak dahulu lagi tidak akan menggugurkan usaha menegakkan negara Islam sebagai asas utama perjuangan parti walaupun didesak oleh DAP.
Menurut beliau, Pas tidak pernah takut kehilangan rakan politik tetapi sebaliknya takut jika mengkhianati amanah Allah dan umat Islam.
“Pas tidak pernah cemburu (tetapi) tegas. Kami tidak berdendam tetapi kami tidak melupakan. Ketika UMNO sendiri suatu ketika dahulu menuduh DAP sebagai ancaman terhadap Islam, Melayu dan institusi Raja-Raja, kini mereka pula berpeluk mesra dalam kamar politik yang sama.
“Maka soalnya, siapa sebenarnya yang tidak mampu ‘move on’? Siapa yang hari ini sanggup menggadai prinsip demi kelangsungan kuasa?
“Jika Pas menolak DAP, itu berlandaskan rekod penentangan DAP terhadap pelaksanaan syariah, kenyataan-kenyataan yang menyentuh sensitiviti umat Islam dan kedegilan DAP mempertikaikan perkara-perkara asas Perlembagaan seperti hak keistimewaan Melayu serta institusi Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan Idris itu merupakan respons terhadap dakwaan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mengatakan Pas tidak ‘move on’ dan cemburu terhadap hubungan UMNO-DAP
Idris berkata, Mohamed Khaled cuba untuk memutar sejarah apabila mendakwa Pas yang ‘mensucikan’ DAP menerusi kerjasama yang terjalin dahulu.
Katanya, kerjasama antara Pas dengan DAP sebelum ini adalah bersyarat, mempunyai peringatan dan teguran diberi secara terbuka.
“Apabila DAP melanggar sempadan, Pas tegas memutuskan hubungan, walaupun perlu membayar harga politik yang mahal. Sebaliknya hari ini, UMNO bersekongkol tanpa teguran, tanpa syarat dan lebih menyedihkan tanpa prinsip.
“Malah kemenangan di Ayer Kuning dijadikan hujah untuk ‘mensucikan’ DAP dan menghalalkan kerjasama jangka panjang. Apakah politik Melayu-Islam kini diletakkan di bawah tapak kaki kepentingan jangka pendek,” katanya.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, Pas tidak akan menukar arah kerana tekanan atau kecaman tetapi terus berpegang kepada perjuangan menegakkan Islam dalam ruang demokrasi.
“Jika itu dilihat sebagai cemburu, maka ketahuilah kami lebih rela dicemuh kerana berpegang pada prinsip daripada dipuji kerana menjual maruah perjuangan.
“Kalau umur kita panjang kita akan lihat, nasib yang akan dihadapi oleh UMNO apabila mereka bersekongkol dengan DAP. Kami sudah ada pengalaman, bagaimana orang Melayu tidak boleh menerima kami waktu kami bersama dengan parti itu.
“Jangka pendek, ya tetapi jangka panjang, tidak. Perkara inilah yang ditanam oleh UMNO kepada orang Melayu sejak negara merdeka. PAS pun mendapat tempias ketika bersama DAP,” ujarnya. – UTUSAN