JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto meminta seluruh rakyat kekal tenang dan menaruh kepercayaan kepada kerajaan dalam menghadapi ketidaktentuan politik dan sosial semasa.
Dalam satu kenyataan media di Istana Merdeka, Jakarta, beliau berkata, semua parti politik, termasuk yang berada di luar kerajaan, bersatu dalam komitmen untuk memperjuangkan kepentingan rakyat dan negara.
“Saya merayu kepada seluruh warga negara agar percaya kepada kerajaan dan bertenang.
“Kerajaan yang saya pimpin bersama semua parti politik termasuk yang tidak berada dalam gabungan kerajaan bertekad memperjuangkan nasib rakyat, termasuk golongan yang paling kecil dan tertinggal,” kata Prabowo
Dalam kenyataan sama, beliau turut memberi jaminan kerajaan menghormati sebarang bentuk aspirasi rakyat yang disampaikan secara aman dan beradab.
Beliau menggesa tuntutan masyarakat dikemukakan dengan cara damai dan konstruktif.
“Kami akan dengar, catat, dan ambil tindakan terhadap semua tuntutan yang disampaikan secara baik,” ujarnya.
Prabowo turut memaklumkan beliau akan meminta pimpinan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) untuk membuka ruang dialog bersama tokoh masyarakat, mahasiswa serta pelbagai kumpulan masyarakat sivil.
Katanya, penyampaian pandangan secara langsung kepada wakil rakyat adalah langkah penting dalam mengukuhkan komunikasi antara rakyat dan kerajaan.
“Saya akan arahkan DPR untuk menjemput tokoh-tokoh masyarakat dan kumpulan-kumpulan yang ingin menyampaikan aspirasi mereka, agar dialog dapat dijalankan secara terbuka dan berkesan,” jelasnya.
Beliau mengingatkan rakyat tidak mudah terpengaruh dengan provokasi pihak-pihak yang cuba menggugat kestabilan negara.
Prabowo turut menekankan kepentingan mengekalkan semangat perpaduan dan gotong-royong dalam menghadapi cabaran negara.
“Indonesia kini berada di ambang kebangkitan. Jangan biarkan kita terus diadu domba. Suarakan aspirasi dengan aman, tanpa kekerasan, tanpa merosakkan kemudahan awam.
“Semangat nenek moyang kita ialah gotong-royong. Marilah kita saling membantu, menjaga keselamatan keluarga kita, dan mempertahankan tanah air tercinta,” katanya.










