Pas akui kesilapan Jalur Gemilang pada logo Himpunan TMT 1.0

Pas akui kesilapan Jalur Gemilang pada logo Himpunan TMT 1.0

Petisyen ugutan
TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas mengakui kesilapan pada logo Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) 2025 anjuran Pas Terengganu yang memaparkan imej Jalur Gemilang dengan bilangan bucu bintang serta jalur merah putih tidak lengkap.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu bersetuju dan akur bahawa permohonan maaf semata-mata tanpa tindakan yang lebih tegas tidak boleh dinormalisasikan sebagai jalan penyelesaian bagi kesilapan sedemikian.

Katanya, Pas juga menyokong langkah pihak berkuasa menjalankan tanggungjawabnya di bawah undang-undang secara telus, adil dan tegas bagi memastikan ketidakpekaan, kecuaian atau kesilapan sama tidak berulang.

“Pas mengongsi sentimen dan gesaan banyak pihak supaya siasatan dan tindakan tegas diambil bawah undang-undang ke atas mana-mana pihak yang gagal menunjukkan kepekaan dan rasa hormat sewajarnya terhadap simbol-simbol negara, termasuk Jalur Gemilang.

“Ini berikutan kekerapan berlakunya insiden sedemikian sejak kebelakangan ini melibatkan bukan sahaja individu tetapi juga organisasi media, badan politik, malah kementerian kerajaan sendiri.

“Atas kesedaran tentang kekhilafan itu Pas Terengganu telah membuat permohonan maaf terbuka dan membetulkan kesilapan tersebut dengan kadar segera sebaik sahaja ditegur, malah mengambil tindakan terhadap petugasnya yang terlibat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Pas Terengganu membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung logo himpunan yang mencetuskan kontroversi, berikutan memaparkan bintang Jalur Gemilang tanpa jumlah bucu lengkap.

Sekretariat program itu memaklumkan, pihaknya sudah menarik semula penggunaan logo berkenaan dan mengeluarkan versi baharu yang dikemas kini.

Parti itu mula mengedarkan poster promosi bagi himpunan yang dijadualkan berlangsung di Kemaman, Terengganu pada 29 hingga 31 Mei ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN