PETALING JAYA: “Yang memeningkan adalah orang yang bermuka-muka, kawan talam dua muka dan berdrama.”
Demikian luahan spontan aktres, Fasha Sandha yang menyifatkan sikap sesetengah orang dewasa lebih memeningkan berbanding kanak-kanak kerana sifat mereka yang suka berpura-pura.
Menurut Fasha, hidupnya kurang tekanan apabila dapat meluangkan masa dengan kanak-kanak selain menganggap mereka sebagai sumber kebahagiaannya.
“Ramai tanya tidak pening ke selalu dikellingi ramai kanak-kanak. Kanak-kanak sebenarnya tidak memeningkan, mereka adalah kegembiraan saya,” katanya dalam satu hantaran Instagram Story.
Tambah Fasha, dia tetap akan menyayangi kanak-kanak yang menjadi penyeri hidupnya meskipun suatu hari nanti dirinya dilupakan.
“Saya sayangkan mereka sampai bila-bila. Tidak kisahlah bila dah besar mereka mungkin tidak ingat saya, tidak mengapa.
“Yang penting apabila mereka terdetik rasa gembira di hati, itu adalah nikmat kegembiraan saya,” ujarnya.
Fasha memuat naik hantaran tersebut selepas dipercayai kerap menerima soalan daripada netizen mengapa dirinya sering meluangkan masa bersama anak-anak berbanding kenalannya yang dewasa.