BERLIN: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky bersedia menggugurkan hasrat negaranya menyertai pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sebagai pertukaran kepada jaminan keselamatan dari Barat dalam usaha menamatkan perang dengan Russia.
Utusan Donald Trump, Steve Witkoff berkata, banyak kemajuan dicapai selepas beliau dan menantu Trump, Jared Kushner bertemu Zelensky di Berlin walaupun butiran penuh rundingan tidak didedahkan.
Langkah itu menandakan perubahan besar pendirian Ukraine, yang sekian lama berusaha menyertai pakatan ketenteraan NATO sebagai perlindungan daripada ancaman Russia, malah hasrat tersebut termaktub dalam perlembagaan negara itu.
Tawaran berkenaan turut memenuhi satu daripada tuntutan utama Russia, walaupun Kyiv setakat ini tetap bertegas tidak akan menyerahkan wilayahnya kepada Moscow.
“Para wakil mengadakan perbincangan mendalam mengenai pelan damai 20 perkara, agenda ekonomi dan isu lain. Banyak kemajuan dicapai dan mereka akan bertemu semula di Berlin,” kata Witkoff dalam satu hantaran di platform X.
Rundingan itu dianjurkan oleh Canselor Jerman, Friedrich Merz yang menurut sumber hanya menyampaikan ucapan ringkas sebelum membenarkan kedua-dua pihak meneruskan perbincangan. Beberapa pemimpin Eropah lain turut berada di Jerman bagi menyertai rundingan lanjut berhubung usaha tersebut.
“Sejak awal lagi, keinginan Ukraine adalah untuk menyertai NATO kerana ia merupakan jaminan keselamatan sebenar. Namun, sebahagian rakan dari AS dan Eropah tidak menyokong hala tuju ini.
“Oleh itu, hari ini, jaminan keselamatan dua hala antara Ukraine dan AS seumpama Artikel 5 termasuk jaminan daripada rakan Eropah dan negara lain seperti Kanada dan Jepun merupakan peluang baik untuk mencegah pencerobohan Russia sekali lagi,” kata Zelensky ketika menjawab soalan wartawan dalam perbualan WhatsApp.
Beliau menegaskan, tawaran tersebut adalah satu kompromi besar oleh Ukraine dan jaminan keselamatan itu perlu bersifat mengikat dari segi undang-undang.
Katanya, gencatan senjata berdasarkan garis hadapan semasa juga boleh menjadi satu pilihan yang adil untuk Ukraine.
Britain, Perancis dan Jerman sedang berusaha memperhalusi cadangan AS bulan lalu yang menggesa Kyiv menyerahkan lebih banyak wilayah, menggugurkan hasrat menyertai NATO dan menerima had tertentu ke atas angkatan tenteranya.
Sekutu-sekutu Eropah menyifatkan situasi ini sebagai ‘detik kritikal’ yang bakal menentukan masa depan Ukraine, sambil berusaha mengukuhkan kewangan Kyiv dengan memanfaatkan aset bank pusat Russia yang dibekukan bagi membiayai keperluan ketenteraan dan awam negara itu.-AGENSI










