PETALING JAYA: Calon Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dilihat mendahului penyandang, Datuk Seri Rafizi Ramli berdasarkan sokongan terbuka cabang-cabang serta momentum undi perwakilan yang berpihak kepadanya menjelang pemilihan parti itu, minggu ini.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Sivamurugan Pandian berkata, kempen Nurul Izzah lebih bersederhana dan menjurus usaha mendekati akar umbi tanpa berkonfrontasi telah mendapat reaksi positif dalam parti.
“Nurul Izzah ini sukar dieksploitasi dan dimanipulasi sebagaimana yang cuba dilakukan menerusi kempen pembunuhan karakter. Beliau sudah lali dengan taktik ini sejak berumur 18 tahun kerana merupakan antara pelopor awal PKR.
“Beliau memahami asam garam dan tidak mahu bertindak balas dengan kempen yang dibawa oleh Rafizi. Ini kerana, beliau tahu Rafizi mahu dirinya bertindak seperti itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Rafizi dan Nurul Izzah membawa gagasan sendiri sepanjang tempoh kempen ini iaitu Rafizi menamakannya sebagai ‘Hiruk’ (Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa), manakala Nurul Izzah pula dengan ‘Damai’ (Dari Akar, Membina Aspirasi Inklusif).
Sivamurugan berkata, strategi kempen Rafizi pula dikritik sesetengah pihak kerana mencetuskan ketegangan termasuk tuduhan membawa isu dalaman ke ruang awam, seolah-olah parti sedang bergolak hebat.
“Beliau cuba bermain dengan persepsi dan emosi, mahu mewujudkan situasi cemas dalam parti. Tindakan memperbesarkan isu dalaman parti boleh mengundang perpecahan yang serius.
“Sebagai penyandang Timbalan Presiden, tindakan Rafizi membuat pendedahan dalaman ketika tempoh kempen dianggap berisiko tinggi dan boleh menghakis kepercayaan ahli terhadap kepemimpinan parti,” katanya.
Katanya, tindakan Rafizi melakukan pembongkaran seperti dakwaan politik wang memberikan kesan besar terhadap PKR.
“Situasi ini menimbulkan persoalan besar. Mampukah PKR memulihkan perpaduan selepas pemilihan? Atau adakah kempen beremosi ini membawa gelombang keluar parti besar-besaran daripada kumpulan kecewa?
“Jadi, bagaimana PKR mampu memastikan sebaik sahaja selesai sesi pemilihan, usaha dapat dilakukan untuk merapatkan barisan supaya tindakan keluar parti tidak membiak dan membesar? Ia perlu ditangani segera,” katanya.-UTUSAN










