PETALING JAYA: Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli akan dicabar oleh Nurul Izzah Anwar bagi jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan pucuk pimpinan parti itu hujung bulan ini.
Nurul Izzah yang sebelum ini dikatakan hanya akan bertanding jawatan Naib Presiden membuat kejutan apabila mengisi pencalonan untuk jawatan nombor dua tersebut sekitar pukul 3 petang semalam iaitu kira-kira lapan jam sebelum tamat tempoh pencalonan.
Sejurus selepas itu Rafizi pula mengemukakan pencalonan untuk mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak tahun 2022 selepas menewaskan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Nama Nurul Izzah menjadi tumpuan untuk calon jawatan nombor dua PKR itu apabila beberapa pemimpin utama menyatakan sokongan terbuka.
Antaranya Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari; Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli; dan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Sehingga pukul 7 malam semalam, hanya dua pencalonan diterima untuk jawatan Timbalan Presiden iaitu daripada Rafizi dan Nurul Izzah.
Beberapa hari lalu, Rafizi menyatakan keterbukaannya terhadap saingan dalaman parti sebagai langkah memperkukuhkan amalan demokrasi.
Beliau juga menyatakan kesediaannya untuk terus menyumbang kepada parti walaupun tidak menjawat jawatan utama.
Nama Saifuddin yang turut disebut untuk merebut jawatan itu bagaimanapun tidak ada dalam senarai pencalonan setakat berita ini ditulis.
Dalam perkembangan lain, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus mempertahankan jawatannya tanpa dicabar, menjadikan beliau satu-satunya calon yang menang tanpa bertanding dalam barisan kepimpinan utama.
Sementara itu Nurul Izzah dalam kenyataan berhubung pencalonannya menepis dakwaan sebahagian pihak bahawa percalonannya dalam pemilihan parti kali ini atas dasar nepotisme.
Katanya, label itu bukanlah serangan baharu malah sejak 1998 sudah dihadapinya iaitu ketika bersama pengasas dan pejuang reformasi menubuhkan parti.
Malah, kata anak sulung kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, sekiranya beliau memilih untuk mempertahankan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR juga akan digelar seperti itu.
“Walau apa jua gelaran dan persepsi yang dilemparkan selama puluhan tahun, saya tetap akan terus berkhidmat, Insya-Allah.
“(Ini) kerana (saya) yakin bahawa proses bertanding secara terbuka lantas mendapat mandat daripada akar umbi bukanlah satu bentuk nepotisme.
Sebaliknya, itulah asas demokrasi yang perlu kita pertahankan dalam parti kita ini,” katanya menerusi kenyataan media, semalam.
Nurul Izzah berkata, beliau sebelum ini pernah melepaskan dan menolak jawatan yang ditawarkan kepadanya kerana prinsip serta ibunya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini.
“Pada 2018, saya meletakkan jawatan daripada Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) pada dasarnya menentang kegagalan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu untuk memastikan perbelanjaan kerajaan dipantau dengan memastikan pembangkang memegang jawatan ketua PAC.
“Ketika Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), saya telah ditawarkan untuk dilantik sebagai Menteri. Apa keputusan saya? Saya menolak kerana ianya adalah lantikan Perdana Menteri di dalam kabinet yang turut dianggotai oleh Wan Azizah,” katanya.
Katanya, beliau tidak berminat dengan jawatan Kabinet walaupun jika memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR.
“Saya yakin, mereka yang membaca kenyataan ini dengan penuh rasional dapat membezakan nepotisme iaitu dilantik oleh ahli keluarga untuk sesuatu posisi berbanding pertandingan yang diundi oleh akar umbi,” ujarnya.
Proses pencalonan bagi pemilihan peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR telah tamat tengah malam tadi, menandakan bermulanya fasa kritikal menjelang pemilihan rasmi parti.
Kongres Nasional PKR 2025 dijadualkan berlangsung pada 24 Mei ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, dengan kehadiran lebih 10,000 perwakilan secara fizikal dari seluruh negara.
Selain itu, lebih 20,000 perwakilan akan mengambil bahagian dalam proses pengundian secara dalam talian, menjadikan pemilihan kali ini antara yang paling besar dalam sejarah PKR.
Kongres bagi sayap AMK dan Wanita pula akan diadakan lebih awal pada 22 Mei, manakala pemilihan pusat dijadual berlangsung pada 23 Mei, sehari sebelum Kongres Nasional. – UTUSAN










