PETALING JAYA: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) membantah pelantikan ekspatriat dari negara India sebagai Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan (GCPO) di CIMB Bank Berhad (CIMB).
Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon dalam satu kenyataan berkata, CIMB merupakan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan Khazanah Nasional sebagai pemegang saham utama dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan (Diperbadankan).
Katanya, objektif utama Khazanah adalah untuk menguruskan kekayaan negara bagi manfaat ekonomi seluruh rakyat Malaysia, dan pelantikan warga asing ke jawatan strategik seperti GCPO bercanggah dengan semangat tersebut.
“Tindakan melantik Animesh Mukherjee ke jawatan penting seperti ini adalah tidak munasabah. Ia sepatutnya diisi oleh pemimpin tempatan yang lebih memahami nilai, budaya serta realiti sosio-ekonomi negara.
“Fungsi utama GCPO ialah merangka strategi sumber manusia dan membentuk budaya organisasi. Pemahaman mendalam terhadap konteks tempatan amat penting dalam menjayakan tanggungjawab tersebut,” katanya.
Solomon berkata, individu berkenaan dilihat kurang sensitif terhadap budaya tempatan sehingga menjejaskan keharmonian di tempat kerja, sedangkan hampir 100 peratus tenaga kerja CIMB merupakan rakyat Malaysia.
Tambahnya, kenyataan kerajaan pada 2023 hingga 2025 jelas menyatakan komitmen untuk membangunkan bakat tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap kepakaran asing demi kelestarian ekonomi negara.
“Ekspatriat lazimnya berkhidmat dalam tempoh kontrak jangka pendek dan tidak mempunyai komitmen jangka panjang terhadap pembangunan tenaga kerja tempatan berbanding rakyat Malaysia sendiri.
“Pelantikan ini juga tidak wajar kerana melibatkan kos tinggi seperti perumahan, pemindahan dan pendidikan anak-anak, sedangkan dana itu lebih wajar digunakan untuk mempertingkat kemahiran pekerja tempatan,” katanya.
NUBE menggesa pihak berkuasa dan semua pemegang taruh di CIMB untuk menilai semula pelantikan tersebut dan memastikan barisan kepimpinan masa depan lebih mencerminkan identiti serta aspirasi jangka panjang negara. – UTUSAN