Notis perarakan MMA bantah paparan harga ubat diteliti polis

Notis perarakan MMA bantah paparan harga ubat diteliti polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Notis pemberitahuan daripada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berhubung rancangan untuk mengadakan perarakan pada Selasa ini bagi membantah pelaksanaan peraturan yang mewajibkan klinik swasta dan farmasi mempamerkan harga ubat-ubatan telah diterima polis.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, notis itu diterima pada pukul 4 petang semalam dan kini sedang dalam proses meneliti permohonan berkenaan.

“Setakat ini, kita sedang mengkaji notis pemberitahuan yang diterima sama ada akan dibenarkan atau tidak, mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Kita juga akan memanggil pihak penganjur untuk perbincangan lanjut, termasuk dari segi keselamatan serta pematuhan terhadap Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya di sini hari ini.

Difahamkan, notis pemberitahuan itu dihantar oleh Setiausaha Agung Kehormat MMA, Dr L Vasu Pillai, bagi memaklumkan rancangan perarakan secara aman di Putrajaya pada pukul 10 pagi.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan peraturan baharu bermula semalam, yang mewajibkan semua klinik dan farmasi swasta memaparkan harga ubat-ubatan, dengan tujuan meningkatkan ketelusan dan membantu pengguna membuat pilihan berdasarkan harga.

Langkah ini dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723), dengan objektif meningkatkan ketelusan dalam urus niaga dan membolehkan pengguna membuat perbandingan harga.

Bagaimanapun, MMA menyifatkan arahan itu sebagai tidak praktikal kerana harga ubat kerap berubah bergantung kepada kos pembekalan dan faktor pasaran.

Mereka bimbang maklumat harga yang dipaparkan boleh mengelirukan pesakit dan menimbulkan salah faham.

MMA turut membangkitkan isu bahawa dasar ini diperkenalkan tanpa perbincangan telus bersama pemain industri kesihatan swasta, dan dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira kesan kepada pengamal perubatan.

Selain kesan terhadap operasi klinik, MMA berpandangan bahawa pemaparan harga secara terbuka boleh merosakkan hubungan kepercayaan antara doktor dan pesakit sekiranya pesakit membuat tafsiran sendiri terhadap harga yang dipamerkan.

Justeru, MMA menggesa kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan dasar ini dan membuka semula ruang rundingan yang inklusif agar keputusan yang dibuat mengambil kira realiti pengamal perubatan dan tidak menjejaskan mutu perkhidmatan kesihatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya