PETALING JAYA: Negara ASEAN perlu mewujudkan tarif intra-ASEAN yang memberi faedah kepada anggotanya bagi menggalakkan perdagangan antara satu sama lain secara strategik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri Luar, Tan Sri Rais Yatim berkata, tarif yang dirangka khas untuk pasaran dalaman ASEAN penting untuk meningkatkan daya saing dan memperkukuh syarikat dalam kalangan negara anggota sebelum dapat bersaing ke peringkat global.
Selain itu katanya, ASEAN perlu membina kekuatan dalaman melalui mekanisme tarif yang mengutamakan sesama anggota.
“ASEAN lemah kerana dalam rundingan tarif mereka tidak bersekutu dan gagal berunding secara kolektif. Usaha bersama industri bersama juga tidak berhasil.
“Setiap negara anggota terlalu leka dan terikat dengan keutamaan nasional dalam bidang import dan eksport sehingga mengabaikan potensi dan kepentingan serantau. Proton misalnya. Indonesia tidak mahu terima konsesi edaran, tetapi kereta Jepun, China serta Eropah banyak di negara masing-masing,” katanya semalam.
Menurut Rais, walaupun ASEAN sering dilaungkan sebagai blok ekonomi yang dinamik, usaha perniagaan antara negara anggota masih tidak berkembang dan kukuh.
“Salah satu punca utama kegagalan itu ialah keghairahan ASEAN untuk menjalin terlalu banyak konsesi perdagangan dengan kuasa-kuasa luar seperti ASEAN Plus (China, Korea Selatan dan Jepun,” katanya.
Mengenai sama ada Myanmar perlu dilantik sebagai utusan khas ASEAN secara tetap, Rais berkata, negara tersebut tidak perlu diberi apa-apa keistimewaan.
“Mengistimewakan Myanmar tidak bijak kerana sejarah membuktikan mereka tidak setia dengan ASEAN. Negara berkenaan mengamalkan pemerintahan rejim dan kejam terhadap masyarakat Rohingya.
“Justeru, pengerusi kali ini iaitu Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri perlu lebih tegas nanti. Malah, ASEAN perlu mempunyai badan disiplin yang boleh mengenakan tindakan terhadap mana-mana negara yang melanggar piagam ASEAN terutama berkait dengan hak asasi manusia,” katanya. – UTUSAN










