Nabila Huda dan busana klasik berpisah tiada - Utusan Malaysia

Nabila Huda dan busana klasik berpisah tiada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebenarnya, sungguh! Cik Bunga memang suka tengok penampilan pelakon, Nabila Huda, terutama jika dia tampil ke majlis-majlis anugerah dalam industri hiburan tempatan. 

Rasanya, kalau tidak salah Cik Bunga,tahun-tahun kebelakangan ini jika dia berpeluang hadir ke majlis anugerah, Nabila nampak sangat selesa menggayakan busana klasik tradisional contohnya Kebaya. 

Mungkin ada antara busana itu tidaklah seratus peratus Kebaya atau Kurung misalnya. Tetapi Cik Bunga perhatikan, Nabila mesti mengetengahkan elemen Melayu klasik itu dalam perincian busana yang disarung dan dia sangat bangga menggayakannya.

Tidak dinafikan, ada saja gaya lain yang disarung oleh Nabila, tengok pada konsep dan tema majlislah. Cuma, Cik Bunga perasan pada kebanyakan waktu, dia suka elemen ini. 

Sudah tentu ini satu hal yang bagus. Malah bagi Cik Bunga sangat menarik kerana di kala ramai artis atau selebriti lain beriya-iya hendak bereksperimentasi dengan pakaian avant garde atau terlalu moden dan kebaratan, Nabila memilih untuk mengangkat busana klasik Melayu di majlis-majlis rasmi. 

Tak tahu kenapa, pilihan Nabila ini mengingatkan Cik Bunga kepada pesona seorang primadona zaman dahulu. Paling tidak pun persis biduanita tanah air, Allahyarham Puan Sri Saloma.

Tapi jangan pula fikir yang anak Datuk Amy Search ini tidak gemar menggayakan pakaian lain. Dia pun sama macam orang biasa lain juga. Aduhai. 

Pun begitu, Cik Bunga harap Nabila kekalkan dengan pilihan untuk berbusana klasik seperti ini jika ke majlis-majlis. Satu, sebab memang sangat mengena dengan personaliti dirinya persis primadona Melayu dan satu lagi sebab sekurang-kurangnya ramai buka mata tentang keunikan dan kecantikan busana berelemen nusantara ini. 

Iyalah kalau bukan kita yang angkat dan pakai dengan bangga, siapa lagi. Legasi ini harus diteruskan oleh generasi muda lain. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN