PONTIAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu melantik segera Menteri Ekonomi sebelum pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dijadualkan Julai ini.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, RMK-13 merupakan dokumen penting yang perlu diuruskan dengan baik dan teliti sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.
Katanya, RMK-13 telah disediakan oleh Menteri Ekonomi sebelum ini, Datuk Seri Rafizi Ramli dan kebiasaannya akan dibentangkan oleh Perdana Menteri.
“Walau bagaimanapun, pelantikan Menteri Ekonomi baharu itu adalah kuasa mutlak Perdana Menteri.
“Sama ada dari PKR atau siapa sahaja, itu terpulang kepada Perdana Menteri. Namun, tentunya pimpinan PKR mendesak supaya kekosongan itu diganti individu dari PKR juga, itu dari segi logik politiknya,” katanya ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Vokasional Tanjung Piai, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja memberi penghargaan kepada Rafizi serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang telah berkhidmat dalam Kerajaan Perpaduan.
“Sebagai kawan saya mengucapkan terima kasih atas segala khidmat mereka. Keputusan mereka itu adalah keputusan dalaman parti,” katanya.
Kelmarin Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatan masing-masing berkuat kuasa 17 Jun dan 4 Julai depan selepas mereka tewas dalam pemilihan PKR minggu lalu.
Rafizi gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR apabila tewas kepada Nurul Izzah Anwar, manakala Nik Nazmi kalah bagi jawatan Naib Presiden.-UTUSAN