PARLIMEN: Malaysia percepat bina tembok di sempadan Thailand

PARLIMEN: Malaysia percepat bina tembok di sempadan Thailand

ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempercepatkan pembinaan tembok konkrit baharu di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand khususnya di kawasan berisiko tinggi bagi meningkatkan keberkesanan kawalan sempadan serta menjamin keselamatan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, pembinaan ini merangkumi jajaran berisiko seperti dari Chuping hingga Padang Besar di Perlis bertujuan menggantikan pagar kawad berduri lama yang sudah uzur dan mudah diceroboh.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM327 juta untuk pelaksanaan projek pembangunan baharu serta penaiktarafan tembok atau pagar keselamatan sedia ada di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand. 

“Projek ini melibatkan negeri Perlis, Kedah dan Perak, dengan panjang keseluruhan kira-kira 110.7 kilometer, tertumpu di kawasan yang dikenal pasti bersesuaian daripada segi teknikal dan keselamatan,” katanya ketika menjawab pertanyaan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) pada sesi kamar khas Dewan Rakyat hari ini.

Zaliha berkata, selain pembinaan fizikal, kerajaan turut memberi perhatian kepada kebajikan dan kesiapsiagaan anggota keselamatan yang bertugas di sempadan negara.

“Antara usaha termasuk memperbaiki kemudahan asas seperti bekalan air bersih di pos kawalan. 

“Saya akui bekalan sedia ada masih belum mencukupi, menyebabkan sebahagian besar pos bergantung kepada takungan air hujan atau sumber sungai yang tidak terawat sepenuhnya. 

“Untuk fasa pertama, sejumlah RM20 juta diperuntukkan di bawah Rolling Plan Kelima RMK12 bagi projek pembekalan air bersih dan terawat,” katanya.

Menurut Zaliha, penekanan terhadap kemudahan infrastruktur asas adalah penting supaya anggota keselamatan dapat menjalankan tugas tanpa menghadapi kekangan seperti kekurangan air bersih.

Katanya, penambahbaikan ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan berterusan, selain meningkatkan keselesaan, daya tahan dan tahap kesiapsiagaan anggota keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan negara. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×