PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menegaskan beliau akan terus menjalankan tanggungjawab seperti biasa dan tidak akan tunduk kepada sebarang bentuk ugutan.
Beliau berkata, walaupun ada yang menasihati supaya beliau berehat seketika, tanggungjawab dan amanah sebagai wakil rakyat perlu diteruskan.
“Matlamat ugutan terhadap keluarga saya adalah supaya saya putus asa dan duduk diam.
“Kalau saya berhenti menjalankan tugas, maka tercapailah matlamat mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Rafizi tidak menolak kemungkinan serangan dibuat terhadap anak lelakinya semalam disebabkan pertemuannya bersama satu kumpulan pendedah maklumat atau whistleblower berkait sebuah skandal, pada Rabu minggu lalu.
Katanya, ia juga adalah cubaan untuk menutup mulutnya mengenai perkara berkenaan.
Sementara itu, Rafizi berkata, beliau akan muncul dalam Podcast YBM malam ini bersama Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail atau lebih dikenali sebagai YB Kak Ogy serta aktivis pendidikan, Victor, bagi membincangkan isu serangan terhadap keluarganya, ancaman budaya buli dan topik berkaitan.
Katanya, program Kaunter Bergerak di Pasar Pagi Taman Muda akan diteruskan seperti biasa esok sebagai wadah untuk bertemu penduduk Pandan. – UTUSAN










