JOHOR BAHRU: MCA berhak mengungkit kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) menerusi Kerajaan Perpaduan, namun rakyat yang akan menilai keberkesanannya.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerjasama itu juga memberi peluang kepada BN untuk berada dalam kerajaan demi memberi khidmat kepada rakyat.
“MCA ada hak untuk ungkit tetapi pada akhirnya rakyat yang tentukan sama ada parti itu wujud dan dapat sokongan atau tidak.
“Walau bagaimanapun, saya percaya perkara ini mendapat perhatian daripada pucuk pimpinan UMNO,” katanya diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon yang menggesa parti itu menentukan masa depannya sendiri sekiranya BN terus menangguhkan keputusan berkaitan hala tuju gabungan itu bersama PH.
Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Johor ke-56 di Savanna Hill Resort, Ulu Tiram, di sini hari ini.
Beliau berpandangan, langkah terbaik adalah dengan mengadakan perbincangan dengan semua pihak terlibat.
“Pada waktu ini apa yang penting adalah semua pihak sentiasa berjumpa, berbincang dan bertukar-tukar fikiran antara satu sama lain,” katanya.
Baru-baru ini, Sin Woon dilaporkan berkata, MCA telah memberi BN lebih dari dua tahun untuk penyusunan semula selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), namun ketidakpastian menyebabkan terdapat ahlinya kecewa. – UTUSAN