ALOR SETAR: Pemadaman mural ikonik Tun Dr. Mahathir Mohamad di Medan Seni di sini tidak mempunyai kaitan dengan unsur politik, sebaliknya dilakukan atas faktor keselamatan dan kerja pengubahsuaian oleh pemilik bangunan.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, pemilik bangunan mendapat kebenaran untuk menjalankan ubah suai termasuk membaiki dinding yang menempatkan mural tersebut, ekoran lukisan yang lusuh dan cat mula mengelupas.
“MBAS dan Kedah Tourism memandang serius terhadap nilai seni dan penghargaan kepada tokoh negarawan seperti Dr. Mahathir. Justeru, usaha sedang dilaksanakan untuk mewujudkan semula mural itu, sama ada dengan lukisan baharu atau menggantikan mural asal pada lokasi yang bersesuaian.
“Berhubung dengan perkara yang tular baru-baru ini, MBAS ingin menegaskan bahawa isu ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan unsur-unsur yang tidak baik mahupun berkaitan dengan mana-mana agenda politik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, mural Dr. Mahathir yang dilukis pada 2015 di Pekan Melayu dipadamkan, dipercayai beberapa minggu lalu sekali gus mengundang tanya tanda dalam kalangan masyarakat.
Tambah Abdul Gafar, beliau memohon agar semua pihak tidak membuat spekulasi yang boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan keharmonian.
“MBAS komited untuk terus bertindak secara telus dan bertanggungjawab dalam semua urusan. Segala tindakan dan keputusan yang diambil adalah semata-mata berdasarkan pertimbangan profesional serta berpandukan garis panduan yang ditetapkan untuk memastikan karya-karya sebegini dapat dirai sebaiknya,” katanya.
Katanya, garis panduan baharu akan diperkenalkan bagi karya mural pada bangunan persendirian termasuk syarat surat persetujuan pemilik, pelan mural yang perlu diluluskan serta aturan penyelenggaraan jangka panjang. – UTUSAN










