Mangsa Covid-19 bersyukur dapat tunai haji

Mangsa Covid-19 bersyukur dapat tunai haji

ONN HAFIZ Ghazi berbual dengan Hassan Abdul Hamid dan Rohaya Abdul Kadir pada Majlis Meraikan Jemaah Haji Johor Tahun 2025 di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Kulai. UTUSANRAJA JAAFAR AL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Seorang jemaah tidak menyangka mendapat tajaan penuh insan berhati mulia untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini selepas ‘hidup kembali’ akibat penyakit Covid-19, lima tahun lalu.

Rohaya Abdul Kadir, 69, pernah ditidurkan selama 25 hari akibat penyakit itu pada tahun 2020, manakala suaminya, Hassan Abdul Hamid, 76, turut dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama 10 hari, akibat virus maut itu.

Rohaya dan suaminya bersyukur kerana masih dikurniakan kesihatan yang baik walaupun berada ‘di ambang maut’ apabila disahkan dijangkiti virus yang mengorbankan ramai orang di seluruh dunia.

“Saya dan suami terkejut apabila dimaklumkan telah menerima panggilan haji tahun ini, ketika itu beberapa minggu sebelum bulan Ramadan. Kami terus sujud syukur dan berpuasa sunat.

“Suami saya merupakan bekas mekanik di Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sebelum bersara pada 2006. Panggilan haji ini kami terima atas kuota kerajaan negeri Johor,” katanya ketika ditemui pada Majlis Meraikan Jemaah Haji Johor Tahun 2025 di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, di sini semalam yang dihadiri Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Rohaya dan Hassan merupakan antara 142 jemaah haji yang mengikuti penerbangan kedua jemaah haji dari Johor dan mereka akan berlepas ke Kuala Lumpur sebelum berangkat ke Mekah.

Ketika disahkan dijangkiti Covid-19, dia bimbang dan risau kerana keadaan kesihatan mereka tidak berapa baik, apatah lagi suaminya turut mengalami penyakit asma.

“Tetapi Alhamdulillah, usia kami masih panjang dan diberikan kesempatan untuk menyempurnakan Rukun Islam kelima, tahun ini.

“Semua lapan anak kami membantu menyiapkan barangan keperluan untuk menunaikan haji tahun ini. Mereka juga pesan agar saya jaga ayah mereka baik-baik, ubat juga sudah disediakan,” katanya yang bekerja sebagai pemandi jenazah di Masjid Pulai Utama, di sini sejak 2017.

Semantara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, seramai 3,800 rakyat negeri ini bakal mengerjakan ibadah haji termasuk 500 jemaah yang mengikuti rombongan kerajaan negeri menerusi 14 penerbangan bermula semalam.

“Kita akan terus berusaha untuk mendapatkan kuota tambahan bagi membolehkan lebih ramai rakyat negeri ini mengerjakan haji. Kita akan terus bekerjasama dengan Tabung Haji untuk memohon agar kuota tambahan dapat diberikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN