PETALING JAYA: Pelakon, Irfan Zaini menyifatkan watak Malik yang dilakonkannya dalam filem Blood Brothers: Bara Naga memberi banyak perubahan dalam kehidupannya.
Menerusi perkongsian di Instagram miliknya, Irfan atau nama sebenarnya Muhammad Irfan Mohamed Zaini berkongsi tentang watak tersebut yang sentiasa diingatinya sampai bila-bila.
“Malik. Satu nama, perjalanan dan sebahagian daripada jiwa saya. Membawa watak ini dalam filem Blood Brothers benar-benar telah mengubah hidup saya.
“Emosi, kesusahan serta perjuangan ini akan selamanya kekal dalam hidup saya,” katanya.
Dalam pada itu, Irfan juga memberi penghargaan kepada barisan pelakon serta kru yang bersungguh-sungguh menjayakan filem itu.
“Kepada semua pelakon dan kru yang sangat luar biasa dalam mencurahkan sepenuh jiwa menjayakan filem ini, terima kasih kerana sentiasa berada di sisi saya dalam perjalanan yang tidak akan dilupakan ini.
“Bakat serta dedikasi kalian membuatkan setiap saat di set penggambaran terasa seperti magik,” katanya.
Menerusi hantaran yang sama, pelakon The Greatest of All Time (GOAT) itu juga meluahkan rasa syukurnya apabila peminatnya sentiasa menyokong dan mengatakan watak Malik sebagai karakter yang akan terukir di hatinya untuk seumur hidup.
“Kepada keluarga baru saya, “TEAMMALIK’, kasih sayang, kata-kata serta sokongan tanpa henti kalian telah mengangkat saya ke tahap yang tidak pernah saya bayangkan.
“Ini bukan sekadar watak, ia adalah memori yang terukir dalam hati saya untuk seumur hidup. Saya amat bersyukur, selamanya akan jadi ‘Bluetooth Connected’ anda,” luahnya.
Terdahulu, nama Irfan Zaini semakin dikenali ramai menerusi watak Pablo dalam filem Blood Brothers: Bara Naga, arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra.
Filem tersebut berjaya mencecah kutipan RM70 juta dalam tempoh 25 hari tayangan, turut menampilkan barisan selebriti terkenal lain seperti Sharnaaz Ahmad, Shukri Yahya, Syazwan Zulkifli, Andy Teh dan ramai lagi.
Sebelum ini, Irfan juga pernah membintangi filem tamil bertajuk GOAT dan turut bergandingan bersama pelakon tamil terkenal, Thalapathy Vijay yang ditayangkan pada tahun lalu.-UTUSAN