Malaysia tuan rumah Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa 2025

Malaysia tuan rumah Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa 2025

IHW bakal menjadi platform penyatuan utama lima segmen teras industri penjagaan kesihatan serantau.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia buat julung kalinya menjadi tuan rumah Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa (IHW) 2025 yang akan menghimpunkan lebih 900 pempamer melibatkan lima acara perdagangan utama penjagaan kesihatan.

Acara anjuran Informa Markets itu bakal berlangsung di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) dekat sini pada 16 hingga 18 Julai ini.

Menurut Pengerusi Penganjur Informa Markets Malaysia, Datuk Seri Mohd Nasir Mohd Ashraf, IHW bakal menjadi platform penyatuan utama lima segmen teras industri penjagaan kesihatan serantau.

“Kelima-kelima segmen tersebut termasuk CPHI Asia Tenggara, Medtech Asia Tenggara, WHX (Ekspo Kesihatan Dunia), Makmal WHX, dan komponen baharu bertemakan Substantial & Peace,” katanya dalam sidang akhbar pelancaran IHW 2025 di sini, hari ini.

Beliau berkata, acara yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari itu bakal menghimpunkan lebih 900 pempamer, mempamerkan lebih 15,000 produk dan solusi, serta dijangka menerima kehadiran lebih 21,000 pelawat dari lebih 50 buah negara.

“Ini bukan sekadar acara perdagangan, tetapi suatu simbol kesiapsiagaan rantau Asia Tenggara untuk menerajui dialog penjagaan kesihatan, memperkukuh kerjasama serantau dan menggalakkan inovasi rentas sempadan,” katanya.

Tambah beliau, penganjuran acara itu juga bertepatan dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, sekali gus menonjolkan komitmen negara dalam memperkukuh sistem kesihatan, memperluas capaian rawatan berkualiti dan meletakkan Malaysia sebagai hab inovasi kesihatan

Pengerusi MATRADE, Datuk Sri Reezal Merican Naina Merican pula menyatakan, inovasi adalah kunci untuk melihat perubahan sebagai peluang dan bukannya ancaman.

Katanya, International Healthcare Week 2025 adalah platform terbaik untuk mempamerkan potensi Malaysia sebagai pusat inovasi kesihatan di peringkat global.

Pengarah Portfolio Serantau ASEAN bagi Informa Markets, Rungphech Chitanuwat pula, berkata, penganjuran IHW menunjukkan komitmen berterusan untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor penjagaan kesihatan di rantau ASEAN dan seterusnya.

“Acara ini adalah peluang unik untuk pemain industri berkumpul, bertukar idea dan membuka peluang perniagaan baharu yang mampu memacu kemajuan sektor penjagaan kesihatan di Asia Tenggara.

“Kami amat berbangga dapat menyatukan lima acara utama di bawah satu bumbung, sekaligus memperluaskan jangkauan serta impak kepada komuniti penjagaan kesihatan serantau,”katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN