KUALA LUMPUR: Malaysia yakin Mesyuarat Persediaan Pegawai Kanan ASEAN (Prep-SOM), Mesyuarat Persediaan SOM ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Mesyuarat Persediaan ASEAN-GCC-China akan membawa hasil positif.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin berkata, dalam ketiga-tiga mesyuarat yang dilaksanakan, wakil semua pihak memfokuskan kepada dua aspek iaitu persediaan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China.
Katanya, perkara utama yang dibincangkan adalah dokumen hasil daripada kedua-dua sidang kemuncak yang akan diadakan.
“Mengikut perancangan dan gerak kerja yang kita sedang lakukan adalah Sidang Kemuncak ASEAN-GCC akan keluarkan dua dokumen hasil dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China akan keluarkan satu dokumen hasil.
“Perinciannya boleh dilihat (kemudian) dalam kenyataan bersama dan deklarasi bersama bagi Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dan kenyataan bersama bagi Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Amran berkata, di peringkat pegawai kanan, mereka dalam proses memuktamadkan rundingan berhubung kenyataan bersama yang akan dikeluarkan kelak.
“Dalam kedua-dua mesyuarat antara ASEAN-GCC dan ASEAN-GCC-China sasaran utama yang diketengahkan adalah ada dokumen hasil. Kehadapan, kita akan melihat aspek-aspek perincian, itu yang akan dimuatkan dalam dokumen hasil.
“Ini memerlukan rundingan, tapi semangat yang ditonjolkan oleh semua pihak tadi dalam kalangan ASEAN, GCC dan China mempunyai semangat konstruktif untuk mendapatkan hasil yang baik bagi kedua-dua sidang kemuncak itu nanti,” katanya.
Terdahulu, Mesyuarat Jawatankuasa Perwakilan Tetap ke ASEAN (CPR) diadakan sebagai membuka tirai menjelang Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang berlangsung pada Isnin dan Selasa ini.
Mesyuarat peringkat tinggi itu dihadiri wakil-wakil tetap ASEAN, Duta Besar Timor-Leste dan Timbalan Setiausaha Agung Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC).
Jadual diteruskan dengan mesyuarat persediaan membabitkan Prep-SOM, Mesyuarat Persediaan SOM ASEAN-GCC dan Mesyuarat Persediaan ASEAN-GCC-China.
Prep-SOM merupakan mesyuarat penyelarasan utama yang diadakan sebelum Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan (SOM) dan mesyuarat peringkat menteri atau sidang kemuncak. – UTUSAN