Malaysia cadang melawat Myanmar - Utusan Malaysia

Malaysia cadang melawat Myanmar

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia bercadang untuk melawat dan mengadakan dialog dengan Myanmar sebagai usaha meredakan konflik yang sedang berlaku di negara berkenaan.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hal ini kerana Malaysia telah mengadakan pertemuan dengan pihak berkepentingan di Myanmar sebelum ini.

Katanya, Malaysia juga tahu kehendak pihak berkepentingan itu dan mahu membentangkan kepada Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar.

“Kita sebagai Pengerusi ASEAN bercadang untuk melawat dan mengadakan perbincangan dengan Myanmar kerana kita telah berjumpa pihak berkepentingan dan kami tahu kehendak mereka.

“Nanti kita lihat apa pula maklum balas daripada SAC. Rundingan ini bukan sekali atau dua kali (sebaliknya) ia perlu dilakukan banyak kali supaya persefahaman antara satu sama lain dapat dibina,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sebelum itu, Mohamad menghadiri Perundingan Tidak Rasmi Mengenai Isu Myanmar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, ASEAN bukan mahu mencampuri urusan hal ehwal Myanmar sebaliknya konflik di negara itu mewujudkan masalah kepada negara ASEAN lain.

Katanya, antara masalah yang wujud adalah pelarian daripada Myanmar, jenayah rentas sempadan sekali gus menyebabkan mengganggu keamanan di rantau ini.

“Kami bersetuju bahawa usaha untuk memastikan supaya keadaan di Myanmar itu perlu diurus dengan baik dan merupakan sesuatu yang perlu, ini kerana Myanmar merupakan keluarga dalam ASEAN.

“Oleh itu, ASEAN mempunyai tanggungjawab untuk memastikan supaya Myanmar sebagai keluarga besar ASEAN itu berada dalam keadaan baik,” katanya.

Tambahnya lagi, isu di Myanmar sangat kompleks kerana ia membabitkan defisit kepercayaan antara semua pihak berbalah yang sudah tercetus sejak berpuluh-puluh tahun lamanya.

“Di Myanmar ini bukannya seperti di tempat lain, krisis antara Puak A dan Puak B. Ia membabitkan banyak pihak dengan wilayah-wilayah yang berlainan, berbeza bahasa dan lain-lain. Jadi ini menyukarkan kita untuk membuatkan rundingan.

“Tetapi, kita akan terus berusaha dan Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN bersetuju dan yakin bahawa kita perlu terus berusaha membuat rundingan dengan pihak-pihak yang bertentangan di Myanmar. –  UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN