Malaysia bangkitkan Laporan ICAO mengenai MH17 kepada Presiden Russia

Malaysia bangkitkan Laporan ICAO mengenai MH17 kepada Presiden Russia

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan isu laporan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) mengenai nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014 kepada Presiden Russia, Vladimir Putin dalam rundingan dua hala di Kremlin, semalam.

Anwar berkata, beliau mengambil kesempatan untuk mengutarakan perkara tersebut sebagai mewakili rakyat Malaysia, khususnya keluarga mangsa tragedi yang mengorbankan 298 nyawa termasuk 15 anak kapal.

“Sudah tentu, saya mewakili rakyat Malaysia terutamanya keluarga mangsa mengambil kesempatan untuk membangkitkan isu tersebut kepada Presiden, Vladimir Putin ketika mengadakan rundingan dua hala.

“Beliau mendengar dengan teliti dan menzahirkan simpati dan takziah kepada keluarga semua mangsa,” katanya menerusi klip video yang dimuat naik di laman Facebook miliknya, malam tadi.

Berdasarkan penemuan ICAO, Russia bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 di Donetsk, Ukraine pada 2014 yang mengorbankan 298 penumpang termasuk 15 anak kapal.

Menurut laporan ICAO, pesawat itu dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh oleh peluru berpandu Russia semasa terbang melintasi timur Ukraine, ketika berlakunya pertempuran antara kumpulan pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, Putin kekal dengan pendiriannya bahawa Russia telah menuntut siasatan rapi dan menyeluruh tanpa sebarang campur tangan politik dalam insiden tersebut.

“Tetapi saya kata ini laporan dibuat oleh ICAO, namun katanya beliau daripada awal telah memohon supaya siasatan dilakukan secara bebas dan teliti. Pihak Russia bersedia memberikan semua kerjasama untuk memastikan laporan itu lebih wibawa,” katanya.

Perdana Menteri berkata, penjelasan diberikan oleh Putin itu akan disampaikan kepada keluarga mangsa.

“Cumanya yang saya dapat pastikan bahawa beliau (Putin) kata tidak benar jika dikatakan Russia tidak mahu bekerjasama (sebaliknya) beliau tidak mampu bekerjasama dengan (badan) yang Russia anggap tidak bebas,” katanya.

Pada Isnin lalu, ICAO yang merupakan badan penerbangan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memutuskan bahawa Russia bertanggungjawab dalam insiden yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal pesawat tersebut.

Menurut laporan itu, ICAO akan mempertimbang bentuk pampasan yang sesuai dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Anwar tiba di Moscow untuk lawatan rasmi empat hari bermula 13 Mei dan beliau akan meneruskan segmen kedua lawatan dengan berkunjung ke Kazan, Tatarstan pada 15 Mei. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN