Majoriti pemegang taruh setuju pelaksanaan paparan harga ubat

Majoriti pemegang taruh setuju pelaksanaan paparan harga ubat

PELAKSANAAN paparan harga ubat yang dikuatkuasakan mampu mencegah sebarang manipulasi harga oleh penyedia perkhidmatan kesihatan swasta. -UTUSAN/MUHAMMAD NAIM HELMI HAFIDZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majoriti pemegang taruh yang terlibat dalam sesi libat urus sebelum ini bersetuju untuk melaksanakan inisiatif pemaparan harga ubat.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Perkhidmatan Farmasi) Kementerian Kesihatan, Dr. Azuana Ramli berkata, namun beliau mengakui terdapat sebilangan yang membantah dan meluahkan rasa kebimbangan mereka terhadap pelaksanaan langkah tersebut.

“Kita dah ada sesi libat urus dan daripada sesi libat urus jelas yang majoriti pemegang taruh bersetuju untuk pemaparan harga ubat, kita semua pengguna. Kita ikut majoriti.

“Tapi saya faham ada sebilangan pemegang taruh yang membantah dan ada juga yang meluahkan kebimbangan mereka. Ada yang bimbang tentang cara penguatkuasaan, bila nak dilaksanakan dan sebagainya.

“Tapi saya rasa kumpulan itu mungkin ada juga yang sebenarnya menyokong untuk (pelaksanaan), tapi mungkin ada isu-isu lain yang mereka risaukan,” katanya dalam sesi taklimat media berhubung inisiatif pemaparan harga ubat di kemudahan jagaan kesihatan swasta dan farmasi komuniti di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (Akta 723) di sini semalam.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan sekumpulan pengamal perubatan swasta mahu mengadakan perarakan bagi membantah penggunaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) dalam penguatkuasaan paparan harga ubat yang dilaksanakan kerajaan mulai 1 Mei.

Perarakan dijadualkan bermula dari bangunan Kementerian Kesihatan menuju ke Pejabat Perdana Menteri pada 6 Mei ini membabitkan pengamal perubatan sektor swasta dari seluruh negara.

Dalam pada itu, Dr. Azuana berkata, Kementerian Kesihatan tidak berhasrat untuk mengenakan apa-apa tindakan termasuk notis saman kepada farmasi atau fasiliti kesihatan swasta yang dikenal pasti tidak meletakkan tanda harga ubat dalam tempoh tiga bulan pertama pelaksanaan inisiatif tersebut.

Katanya, selepas tamat tempoh tiga bulan tersebut, kementerian mempertimbangkan sekiranya terdapat keperluan untuk melanjutkan tempoh advokasi berkenaan.

“Dalam fasa ini, ia akan menjadi proses bagi kedua-dua pihak iaitu kerajaan serta pemegang taruh untuk belajar dan menjelaskan perkara yang perlu dilakukan.

“Pada masa sama, kami juga akan melihat bagaimana perintah itu dilaksanakan. Justeru itu, tiada hasrat untuk mengenakan sebarang tindakan sepanjang tempoh terbabit termasuk mengeluarkan saman.

“Tindakan yang boleh dikenakan kepada pihak tidak mematuhi paparan harga terbabit ada dinyatakan dalam perintah berkenaan. Namun dalam tempoh ini, kami akan semak semula setakat mana pencapaian kebolehlaksanaan perintah itu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN