“Sistem dan prosedur semua agensi perkhidmatan awam negeri perlu dikaji serta diteliti agar tiada ruang dan peluang berlaku rasuah.”
Itu merupakan kata-kata Datuk Seri Hajiji Noor pada Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2020, tiga bulan selepas beliau dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah.
Antara gesaan terawal beliau ketika itu adalah mewujudkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) di semua badan kerajaan negeri untuk memastikan tahap integriti tinggi dalam kalangan penjawat awam dan menangani gejala rasuah.
“Bersama-sama kita melakukan perubahan dengan menyedarkan masyarakat keseluruhannya bahawa perbuatan memberi rasuah adalah suatu kesalahan yang amat serius,” katanya.
Hajiji turut menggesa masyarakat melaporkan salah guna kuasa dan rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mereka akan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Sejak daripada itu, Hajiji terus-terusan menunjukkan komitmennya bagi menangani isu rasuah sepanjang tempoh pentadbirannya.
Pada Mac 2021, beliau memulakan langkah dengan melancarkan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2021-2025.
Salah satu inisiatif di bawah pelan tersebut ialah penganjuran Hari Integriti Negeri Sabah dan Buku Semakan Semula Pelan Antirasuah Jabatan Ketua Menteri 2019-2023.
Pada 2022, Hajiji menubuhkan pasukan petugas khas yang terdiri daripada Kementerian Kewangan Negeri Sabah, SPRM dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi tujuan mengutip semua cukai jualan yang gagal dibayar sebelum ini.
Tahun yang sama juga, kerajaan negeri memulakan inisiatif menyelesaikan isu-isu Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan hasilnya sebanyak 63 daripada 116 isu teguran audit berjaya diselesaikan sepanjang tempoh Januari hingga 25 Ogos 2021.
Semasa merasmikan Hari Integriti Negeri Sabah pada September 2022, Hajiji melancarkan Aspirasi KITA (Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah) dengan kerjasama SPRM dalam usaha memperkasakan tadbir urus, integriti dan antirasuah di negeri Sabah.
Beliau juga meminta supaya 76 badan berkanun negeri dan syarikat berkepentingan kerajaan (GIC) menubuhkan Unit Integriti dan Governans (IGU) kerana hanya sembilan daripada 85 badan berkanun dan GIC yang menubuhkan unit tersebut pada masa itu.
Pada 2023, Hajiji mengingatkan semua 17 Jabatan Ketua Menteri termasuk pejabat daerah, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun negeri supaya membangunkan segera pelan OACP segera dan mendapatkan pensijilan Anti Bribery Management System (ABMS).
Yang menariknya, beliau turut memperkenalkan program Kedai Jujur di sekolah dengan menjual barangan tanpa penjual dan hanya perlu memasukkan wang ke dalam tabung yang disediakan bagi menyemai nilai integriti dalam kalangan pelajar.
Usaha diteruskan apabila Aspirasi Governans, Integriti dan Antirasuah (GIA) diperkenalkan melalui Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah (BIGoNS) dengan memastikan semua 132 agensi Kerajaan Negeri Sabah merangkumi kementerian, jabatan, pejabat daerah, daerah kecil, badan berkanun negeri dan PBT membangunkan OACP sepenuhnya.
Pemantauan dan pelaporan status pelaksanaan inisiatif-inisiatif OACP diselia melalui Sistem i-Dashboard atau Sistem i-DO serta menyediakan maklumat mengenai penubuhan IGU di syarikat berkepentingan kerajaan negeri.
Hajiji turut bersetuju menempatkan seorang Pegawai SPRM secara pinjaman sebagai Penasihat Integriti Menteri di Pejabat Ketua Menteri Sabah.
Syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga digesa melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berbentuk pencegahan dan pendidikan antirasuah bersama SPRM.
Ini kerana, di bawah Seksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967, mana-mana syarikat swasta atau GLC yang melaksanakan program CSR berbentuk pencegahan dan pendidikan antirasuah di negara ini, boleh mendapat potongan cukai.
Usaha-usaha yang ditunjukkan oleh Hajiji dan kerajaan negeri yang diterajuinya sepanjang tempoh lima tahun pentadbirannya membuktikan bahawa beliau memegang janjinya sejak dari awal untuk menutup segala ruang dan peluang dalam melakukan sebarang perbuatan rasuah. – UTUSAN