PITAS: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersikap terbuka terhadap mana-mana parti komponennya yang memilih bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, GRS tidak pernah mendesak mana-mana parti komponen untuk meninggalkan gabungan itu, namun keputusan untuk bertanding secara sendirian hak masing-masing.
“Justeru, jika mereka ingin bertanding secara solo, itu keputusan mereka dan GRS tidak menghalang.
“Bagaimanapun, GRS yakin terhadap kekuatan serta perpaduan gabungan itu berdasarkan kerjasama erat antara parti komponennya, selain sokongan padu rakyat Sabah,” katanya pada upacara pecah tanah projek perumahan dan kedai Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) Kampung Taka di perkarangan dewan masyarakat Pitas, di sini, hari ini.
Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah yakin gabungan itu akan menang pada PRN17 ini.
“Hubungan serta kerjasama kita bersama rakan komponen lain seperti Parti Bersatu Sabah (PBS) masih kukuh.
“GRS akan terus kekal sebagai gabungan yang kuat dan mantap di Sabah. Kita ingin meneruskan perjuangan itu kerana perjalanan baru separuh jalan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji berkata, pelaksanaan agenda pembangunan mengikut dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) sejak hampir lima tahun lalu menjadi bukti nyata keupayaan kerajaan negeri memulihkan ekonomi serta memperkukuh kesejahteraan rakyat.
Katanya, mandat diberikan rakyat sejak September 2020 tidak disia-siakan, sebaliknya diterjemahkan melalui pelaksanaan SMJ yang kini menampakkan hasil.
“Walaupun berdepan pelbagai cabaran dan sindiran, kepimpinan kerajaan tetap teguh melaksanakan amanah rakyat. SMJ bukan sekadar slogan, ia satu pelan bertindak yang sudah menunjukkan hasilnya,” katanya. – UTUSAN










