PITAS: Kerajaan Negeri Sabah menambah 10 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk belia yang baharu mendirikan rumah tangga bermula tahun depan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penambah jumlah itu menjadikan sebanyak 50 unit rumah mesra SMJ akan dibina di setiap kawasan DUN berbanding 40 unit tahun ini.
“Dulu hanya ada empat atau lima rumah PPRT, namun tahun ini kerajaan akan bina 40 buah rumah mesra SMJ, manakala kita tambah menjadi 50 unit di setiap DUN untuk rakyat yang memerlukan tahun depan.
“Tambahan 10 unit rumah itu dikhaskan untuk anak muda yang susah dan baharu berkahwin kerana kerajaan sedar ramai yang masih tinggal bersama keluarga,” katanya merasmikan upacara majlis pecah tanah projek perumahan dan kedai Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Kampung Taka di sini, hari ini.
Beliau berkata, projek perumahan dan kedai LPPB di Kampung Taka itu dijangka memberi impak besar kepada masyarakat setempat dengan menyediakan peluang pekerjaan serta ruang keusahawanan baharu, selain memberi manfaat kepada seluruh lapisan penduduk.
“Projek itu memberi peluang kepada rakyat memiliki rumah sendiri, sekali gus membuktikan kesungguhan, keikhlasan dan keprihatinan kerajaan dalam membangunkan kawasan luar bandar,” katanya.
Hajiji berkata, projek itu membabitkan pembinaan 320 unit rumah terdiri rumah berkembar setingkat dan rumah teres setingkat di kawasan seluas 37.60 ekar milik LPPB.
“Ia turut merangkumi 171 unit kedai terdiri unit dua tingkat, pasar raya, bilik pameran dan kios,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap projek usahasama kerajaan dan swasta itu dapat dilaksanakan secara teratur, mengikut jadual serta menepati perjanjian yang dimeterai bagi memenuhi keperluan masyarakat.
Katanya, pendekatan kerjasama awam dan swasta itu bukan sahaja mengurangkan beban kewangan kerajaan, malah membolehkan sumber kerajaan difokuskan kepada pembangunan sosioekonomi dan infrastruktur lain demi kesejahteraan rakyat.
Hajiji menegaskan, kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan mana-mana daerah di negeri ini dalam pembangunan termasuk Pitas yang turut menerima limpahan pelbagai projek pembangunan untuk memperkasakan kemajuan tempatan sejak lima tahun ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengumumkan kelulusan pembinaan mini kompleks sukan Pitas dan terminal bas awam bernilai RM1 juta serta rumah budaya di dataran Pitas bernilai RM1.4 juta.
Beliau turut memberi jaminan projek ternakan udang yang terhenti sebelum ini, hasil kerjasama Yayasan Sabah dengan sebuah syarikat akan diusahakan semula bagi mewujudkan peluang pekerjaan serta merancakkan ekonomi penduduk Pitas. – UTUSAN










