KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah mengumumkan pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada keluarga yang terjejas akibat bencana banjir dan tanah runtuh yang melanda daerah di negeri ini sejak beberapa hari lalu.
Setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang merupakan warganegara Malaysia dan berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) akan menerima RM1,000 bagi meringankan beban berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, bagi waris mangsa yang terkorban akibat kejadian tanah runtuh, bantuan khas kematian berjumlah RM10,000 akan diberikan.
Sehingga kini, sebanyak 11 PPS masih beroperasi di enam daerah, menempatkan 220 keluarga melibatkan 863 orang mangsa. Empat lokasi tanah runtuh turut dilaporkan meragut nyawa iaitu di Sarapung (Penampang), Marahang (Papar), Kampung Mook (Penampang) dan Cenderakasih (Kota Kinabalu).
Dalam pada itu, kerajaan negeri melalui JPBN bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sedang menyelaras pelbagai bentuk bantuan termasuk penyaluran dana kecemasan, penyediaan jambatan sementara (Bailey Bridge) serta koordinasi logistik di kawasan terputus hubungan.
Selain bantuan kewangan, semua keluarga terjejas turut menerima bakul makanan sebagai langkah segera meringankan beban harian.
“Kerajaan negeri bersama agensi penyelamat sedang berusaha sepenuhnya memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa terjamin,” jelas JPBN. – UTUSAN










