KUALA TERENGGANU: Polis menahan lima lelaki yang disyaki terlibat dalam sindiket pemberian pinjaman wang tanpa lesen yang menjalankan aktiviti secara kekerasan di sini, pada 20 dan 21 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, kesemua lima lelaki berusia lingkungan 16 tahun hingga 39 tahun ditahan dalam Op Vulture selepas menerima laporan daripada mangsa pada 20 Mei.
Katanya, mangsa berumur 24 tahun telah menghubungi seorang suspek melalui aplikasi WhatsApp bagi tujuan membuat pinjaman wang.
Bagaimanapun, katanya, mangsa kemudian dibawa masuk ke dalam kereta, dipukul, dilucutkan pakaian dan ditinggalkan dalam keadaan berbogel di kawasan semak berhampiran Bukit Khor, Marang.
“Barang peribadi milik mangsa termasuk telefon bimbit, dompet dan kad pengenalan turut dirampas,” katanya.
Beliau berkata, susulan aduan daripada mangsa, polis menahan lima individu yang kemudian mengaku menjalankan aktiviti pinjaman wang haram di sekitar Kuala Terengganu sejak Mac lalu.
“Semakan rekod lampau mendapati tiga daripada lima suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah dan kes-kes berkaitan sebelum ini. Semua suspek ditahan reman empat hari bermula 21 Mei lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) dan 29B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951,” ujarnya. – UTUSAN