KOTA BHARU: Umat Islam di negeri ini perlu mengelak daripada membeli lembu seludup untuk dijadikan sebagai haiwan korban sempena Hari Raya Aidiladha yang disambut 7 Jun ini.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, kebanyakan lembu tersebut tidak menjalani pemeriksaan kesihatan dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sekali gus melanggar peraturan yang menyebabkan pelaksanaan ibadah korban tidak mencapai kesempurnaan.
“Rakyat perlu peka terhadap penyembelihan korban yang membabitkan lembu seludup bagi mengelak kemudaratan disebabkan jangkitan Antraks yang boleh menyebabkan risiko kematian.
“Dalam mengejar ganjaran pahala, kita jangan campur aduk dengan perbuatan yang berdosa termasuk mengabaikan kemudaratan kepada asnaf yang menerima daging korban.
“Islam melarang sebarang kemudaratan yang disengajakan. Buatlah yang terbaik dengan menelusuri amalan bersih dan terpuji,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Akhbar ini melaporkan, orang ramai yang ingin melakukan ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha minggu depan diingatkan agar tidak membeli lembu seludup dari Thailand.
Ini kerana, lembu seludup dari negara jiran itu dipercayai tidak menjalani proses kuarantin oleh Jabatan Veterinar negeri dan berisiko membawa jangkitan Antraks yang boleh menyebabkan kematian kepada manusia.
Kebimbangan itu berasas selepas Thailand merekodkan kes kematian akibat jangkitan Antraks pada 1 Mei lalu. Antraks adalah penyakit menular teruk berpunca daripada bakteria Bacillus anthracis dan boleh membawa maut kepada manusia.











