LIPIS: Minat mendalam terhadap bidang penternakan mendorong seorang bekas pekerja lombong emas di Kampung Relong di sini meninggalkan kerjaya itu dan kini mengusahakan ladang lembu ‘sado’.
Pemilik Farm And TT Zhentfarm, Nurhaffiz Mohamed, 31, berkata, dia menceburi bidang ternakan empat tahun lalu dengan hanya tiga ekor lembu baka Kedah-Kelantan (KL).
“Dua tahun kemudian saya berjinak-jinak memelihara lembu sado. Kini, saya memiliki lebih 10 ekor lembu baka sado yang bersaiz besar seperti Charolais, Simmental dan Brahman,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Nurhaffiz berkata, keputusan meninggalkan kerjaya dalam industri perlombongan bukan sesuatu yang mudah, namun berbaloi demi minat dan masa depan yang lebih stabil.
“Saya bernasib baik kerana memiliki tanah sendiri untuk membina kandang dan menanam rumput minyak sebagai makanan lembu. Malah, Jawatankuasa Pengurusan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Relong turut menyewakan tanah untuk saya menanam rumput napier,” katanya.
Menurut, kos pengurusan ladang lembu bukan sesuatu yang kecil apabila perlu memperuntukkan antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan untuk makanan, ubat-ubatan dan bayaran pekerja.
“Menjelang Hari Raya Aidiladha ini, saya sedia menjual lembu sado dari pelbagai baka dengan harga antara RM14,000 hingga RM22,500 seekor. Ia bergantung umur, saiz dan kondisi fizikal,” katanya.
Menurutnya, keistimewaan lembu sado adalah pada tekstur dagingnya yang lebih lembut dan enak berbanding lembu kampung, menjadikannya pilihan utama untuk ibadah korban serta perniagaan daging premium.
“Kami juga sedang mencuba pelbagai kaedah kacukan baka (crossbreed) untuk menghasilkan baka lebih berkualiti dan sesuai dengan permintaan pasaran,” katanya. –UTUSAN











