Lelaki warga emas didakwa bunuh rakan

Lelaki warga emas didakwa bunuh rakan

YEE Fatt Seong ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang atas dakwaan membunuh seorang rakannya, bulan lepas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan membunuh seorang rakannya di Bukit Mertajam, bulan lepas.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Yee Fatt Seong, 70, ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh seorang jurubahasa di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.

Sebaliknya, Fatt Seong yang terpaksa dipapah untuk berdiri hanya mengangguk tanda faham akan pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan bunuh sehingga menyebabkan kematian terhadap Loo Ah Teong, 63.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah pondok rehat di Jalan Kolam, Cherok Tokun, Bukit Mertajam antara pukul 2 hingga 3.22 petang pada 27 April lalu.

Atas kesalahan itu, tertuduh boleh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau dipenjara antara 30 hingga 40 tahun selain dikenakan tidak kurang daripada 12 kali sebatan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin manakala tertuduh pula tidak diwakili oleh mana-mana peguam.

Nor Azah yang tidak membenarkan tertuduh untuk diikat jamin kemudian menetapkan 30 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan laporan bedah siasat siap.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki maut selepas dipukul dengan kayu sebelum ditikam pula dengan pisau oleh rakannya dalam satu kejadian di Cherok Tokun, Bukit Mertajam.

Menurut polis, siasatan awal mendapati, punca kejadian adalah disebabkan oleh perselisihan faham yang berlaku di antara mangsa dan suspek.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya